Malaysia Dateline

Sampai sekarang tiada reformasi struktur kurangkan kesan ringgit jatuh, patut dah bincang dengan negara alternatif import makanan

Kerajaan sampai sekarang tiada kaedah reformasi struktur untuk mengurangkan kesan kejatuhan ringgit terhadap harga makanan.

Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, Pasukan Jihad Inflasi pimpinan Annuar Musa sepatutnya sudah berbincang dengan negara-negara alternatif untuk mengimport makanan, di mana dolar AS tidak digunakan sebagai medium pertukaran.

“Di samping itu, kerajaan juga harus mengembangkan kempen beli produk makanan tempatan, dan pada masa yang sama, membantu mengurangkan kos pengeluaran makanan tempatan.

“Namun, Pasukan Jihad Inflasi lesu hingga kini,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz Fadzil

Dalam masa sama, Faiz mengingatkan bahawa inflasi makanan di negara ini pada Julai lalu sudah melambung ke paras paling tinggi dalam sejarah pada kadar 6.9 peratus.

“Rakyat Malaysia pula turut akan terhimpit teruk, memandangkan 60 peratus makanan Malaysia diimport dari luar dan kos import makanan setakat 2021 mencecah RM64 bilion.

“Kesannya, harga barang makanan akan terus naik dan ini menekan ekonomi rakyat termasuk golongan B40 dan M40,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujarnya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul pula hanya memikirkan pemotongan subsidi yang jelas tidak mempedulikan nasib rakyat.

“Kejatuhan ringgit pasti akan menjadikan inflasi makanan lebih parah. Tengku Zafrul tidak boleh hanya menyalahkan perubahan kadar faedah AS sebagai faktor merundumnya nilai ringgit,” katanya.

Kerajaan BN-Bersatu-Pas pula, tegasnya, tidak ada langkah proaktif untuk mengurangkan kesan kejatuhan ringgit atas kos makanan.

“Yang disibukkan adalah desakan mengadakan pilihan raya umum walaupun di musim banjir,” katanya.

Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir berkata, kemerosotan ringgit ini akan memberikan kesan yang besar terhadap Malaysia, sebagai contoh peningkatan hutang bon 1MDB.

“Dengan kejatuhan ringgit ini, nilai hutang 1MDB dijangka bertambah RM7.7 bilion. Bayaran hutang yang tinggi ini sudah pasti mengurangkan dana negara,” tegas

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak segera menangani kesan kejatuhan ringgit bagi membela nasib rakyat yang terkesan teruk akibat kemerosotan ekonomi negara sekarang.

Baca juga Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa gagal, mana jihadnya, tanya perwakilan Konvensyen AMANAH

Baca juga Pembayaran Fasa 3 BKM bermula 20 September