Malaysia Dateline

Penjara bukan jalan penyelesaian, peguam kongsi ada pesalah dilepas tapi kena buat khidmat masyarakat

Sebenarnya, hukuman penjara bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian untuk mereka yang melakukan kesalahan. Seperti yang dikongsikan seorang peguam di Facebook, Shada Mazan, ada kes di mana pesalah boleh dilepas daripada hukuman penjara tetapi dikenakan Perintah Kehadiran Wajib oleh mahkamah.

PKW adalah hukuman alternatif kepada pesalah yang melakukan kesalahan tertentu. Mereka boleh menjalani hukuman di luar penjara dengan melaksanakan “kerja wajib” tanpa menjejaskan kehidupan harian mereka.

Bagaimanapun perlu diketahui bahawa hukuman ini hanya diberikan kepada mereka yang melakukan kesalahan ringan.

Dia berpendapat, hukuman PKW ini boleh mengurangkan kos kerajaan untuk menampung banduan yang menjalani hukuman kurang daripada 3 bulan, selain boleh kurangkan kesesakan di dalam Penjara.

Ikuti coretan penuh yang dikongsikan Shada Mazan untuk memahami bagaimana hukuman ringan boleh diberikan oleh mahkamah kepada pesalah yang melakukan jenayah ringan.

“Puan, saya ditahan kerana mencuri tetapi saya tak nak masuk penjara”

Saya : Encik mencuri apa? Di mana? Barang kes dah jumpa ke?

Tertuduh : Saya curi emas. Gelang emas. Di kedai makan. Milik owner kedai makan. Gelang dah jumpa dah.

Saya : Encik kerja apa? Berapa gaji sebulan?

Tertuduh : Pengawal keselamatan. Gaji RM2,000/bulan.

Saya : Jika lihat pada rekod mahkamah, encik dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. Hukuman ini wajib penjara. Encik mengaku salah ke?

Tertuduh : Iya saya mengaku Puan. Tetapi saya tak nak masuk Penjara. Saya tak bersedia. Boleh ke saya nak bayar denda?

Saya : Jika Seksyen 379 Kanun Keseksaan boleh bayar denda encik. Tetapi jika Sek. 380, penjara memang wajib. Ada Majistret yang beri 1 hari penjara. Tapi tak ada jaminan pun encik akan dapat tempoh singkat. Encik nak tak kalau saya cadangkan alternatif lain selain penjara? Perintah Kehadiran Wajib.

Tertuduh : Apa itu Puan? Apa yang saya perlu buat? Saya duduk dekat mana? Penjara ke?

Saya : Tak, tak. Encik duduk di rumah. Encik perlu buat khidmat masyarakat selama tempoh tertentu. Tak silap saya maksimum 3 bulan. Ada jumlah jam tertentu yang mahkamah akan berikan.

Tertuduh : Oh yeke Puan saya boleh balik rumah?

Saya : Iya. Tapi encik mesti ikut tempoh masa yang diberi ini oleh pegawai penjara. Kiranya pegawai penjara yang akan pantau encik buat khidmat masyarakat ini.

Tertuduh : Boleh, Puan. Boleh. Saya akan ikut apa arahan yang diberikan asalkan saya tak masuk penjara.

Saya : Betul ini ya Encik. Jika Encik setuju dan boleh beri komitmen, saya mohon kepada mahkamah.

Saya pun jelaskan panjang lebar tentang Perintah Kehadiran Wajib di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah bawah Seksyen 1954 kepada tertuduh.

Selepas tertuduh faham, dan setuju, kes disebut. Tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan, fakta kes juga dibacakan saya pun buatkan rayuan terhadap hukuman.

Puan Majistret yang adil lagi bijaksana, setuju untuk perintahkan anak guam saya ini Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama 3 jam sehari dalam tempoh 3 bulan.

Jumlah jam yang anak guam saya perlu buat khidmat masyarakat adalah 270 jam.

Saya percaya hukuman ini sangat sesuai untuk tertuduh yang berusia 19 tahun, tiada rekod kesalahan lampau, masih bujang.

PKW ini boleh kurangkan kos kerajaan untuk menampung banduan yang menjalani hukuman kurang daripada 3 bulan, boleh kurangkan kesesakan di dalam Penjara.

Pesalah-pesalah juga masih boleh bekerja, meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu dikurung di dalam penjara.

Penjara bukanlah satu-satunya cara hukuman atau kaedah untuk beri pengajaran kepada tertuduh yang dah melakukan kesalahan.

Dengan buat kerja-kerja amal ini, saya percaya anak guam saya bleh belajar menjadi orang berguna, insaf dan sedar serta bertaubat dan tak ulang lagi dah kesalahan ini.

Kes selesai.

Baca juga: ‘Hati macam disiat-siat tengok adik Aqish semuda 5 tahun kena hadap bapa yang keji’

Baca juga: Polis buru pemandu Wira Aeroback TAC 5688 langgar mati pegawai Imigresen