Malaysia Dateline

Penjawat awam rugi hampir setengah juta ringgit diperdaya scammer pejabat pos

Seorang penjawat awam melaporkan kerugian hampir setengah juta ringgit akibat diperdaya sindiket macau scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia.

Dilaporkan, wanita berusia 50 tahun itu kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram, dan oleh kerana takut jika ditangkap, dia telah membuat beberapa transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM429,000.

Pada mulanya, wanita tersebut dikatakan menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari pejabat Pos Malaysia Berhad.

Mangsa kemudian diberitahu terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad juruwang automatik (ATM) yang didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah.

Mangsa telah menafikan perkara itu sebelum diminta membuat laporan polis dengan panggilan telefon disambungkan kononnya ke sebuah balai polis di Sabah, maklum Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.

“Selepas panggilan disambungkan, wanita itu terkejut apabila diberitahu kononnya nama serta nombor kad pengenalan mangsa didapati terbabit kes jenayah pengubahan wang haram, dan diminta membuat beberapa transaksi bayaran untuk menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat panik dan takut, Ahmad Mohsin berkata, mangsa yang mempercayai dakwaan itu telah membuat 10 kali transaksi bayaran dari 27 Jun hingga 30 Julai lalu ke dalam beberapa akaun bank diberikan sindiket terbabit.

Polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhat-hati dan jangan mudah panik serta percaya apabila menerima panggilan sedemikian.

gambar sekadar hiasan

Baca juga: Terus meningkat, hampir 100,000 sokong petisyen ‘Najib tidak wajar diampun’

Baca juga: Lelaki cerita pengalaman masuk penjara Kajang, ‘Sangat gelap, boleh murung, macam ada aura tak selesa’