Malaysia Dateline

Penyokong Najib sengaja buat lupa Anwar 3 tahun dipenjara sebelum diberi pengampunan diraja

Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja membuat lupa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun, mulai 2015, sebelum diberi pengampunan diraja, demikian menurut A.Kadir Jasin.

Katanya, pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sering disebut sebagai duluan (precedent) bagi mengampunkan Najib yang baru menjalani hukuman penjara dua hari.

“Belum pun sehari Mohd Najib masuk penjara atas kesalahan berkaitan RM42 juta duit syarikat kerajaan, SRC International Sdn Bhd, sudah ada ‘Mamat-mamat’ yang mengaku pakar undang-undang kata banduan itu atau warisnya boleh memulakan proses mendapatkan pengampunan diraja.

“Pengampunan Anwar dikemukakan kepada pengundi dalam manifesto PH. Lagipun, kesalahan beliau tidaklah membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang berbilion-bilion ringgit seperti yang dilakukan oleh Najib dalam SRC International dan 1MDB,” katanya.

Meurut Kadir, penyokong kluster mahkamah sengaja lupa atau tidak tahu bahawa Almarhum Harun Idris juga menjalani hukuman penjara yang lama dalam kes pecah amanah Bank Rakyat sebelum diberikan pengampunan.

Penyokong Najib sengaja buat lupa Anwar 3 tahun dipenjara sebelum diampunkan

Beliau dipenjarakan pada tahun 1977 dan dapat pengampunan hanya pada 1982 bersama-sama 62 banduan lain bersempena ulang tahun ke-25 kemerdekaan negara.

“Harun tidak ambil duit untuk dirinya sendiri tapi untuk pentaskan tinju Muhammad Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

“Begitu juga dengan Almarhum Mokhtar Hashim yang membunuh musuh politiknya, Mohamad Taha Talib, pada tahun 1982.
“Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1983 dan pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup oleh Yang di-Pertuan Agong. Dia dibicarakan di Kuala Lumpur dan dipenjarakan di Penjara Pudu. Pada tahun 1991 dia diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara,”ujarnya.

Katanya, jadi bukanlah semudah yang digambarkan bagi Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja Melayu yang lain) memberi pengampunan kerana beban tanggungjawab di bawah undang-undang adalah sangat berat kerana ia adalah hak mutlak Baginda.

Akhirnya Bagindalah yang memikul beban tanggungjawab dan risiko tindakan tersebut, bukan Perdana Menteri atau Lembaga Pengampunan yang hanya memberi nasihat.

“Kesimpulannya, pengampunan bagi Najib dan gengnya (sekiranya mereka juga didapati bersalah) bukanlah sesuatu yang automatik atau telah terpahat di atas batu, tidak kiralah sama ada Umno menang atau kalah.

“Itu belum diambil kira dinamik politik negara dan Umno sendiri. Dalam Umno pun bukan semua mahu kluster mahkamah dibebaskan atau diampunkan. Sudah pun nampak ada kelompok yang lebih suka jika sesetengah atau semua anggota kluster mahkamah dipenjarakan sebagai salah satu cara membersih dan menyembuhkan semula parti itu,”katanya.

Semalam, kira-kira 300 penyokong Najib Razak berhimpun di luar Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bekas Perdana Menteri

Penyokong Najib mendakwa bekas pemimpin itu tidak mendapat layanan yang adil kerana mahkamah menolak permohonan Najib Razak memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor berkata, Najib mesti memohon pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari atau hilang kerusi Parlimen.

Baca juga: “Untung nak, rezeki halal pun nak”-Chef telan air liur tengok harga barang naik 100%

Baca juga: Hotel 13 tingkat untuk babi di China dengan kelengkapan mewah, siap ada kemera