Malaysia Dateline

Pergiatkan projek ternakan ayam kampung ganti ayam daging yang mahal

Projek ternakan ayam kampung perlu dipergiatkan bagi menggantikan bekalan ayam daging yang kini semakin mahal, justeru Pertubuhan Gerak Tani bersedia untuk bekerjasama dengan penternak dengan memberi kursus dan bimbingan.

Pengerusinya Datuk Mazlan Aliman berkata, selain permintaan yang tinggi daging dan telur ayam kampung juga mempunyai khasiat yang tersendiri.

Ketika melakukan tinjauan projek ayam kampung milik Mohd Fadli Ngaimin, 45, di Pt Yasin Benut, yang merupakan contoh pengusaha berskala sederhana.

Beliau memelihara ayam kampung kacuk sebanyak 3,000 ekor dan ayam botak juga 3,000 ekor bagi setiap pusingan dan tempoh matang selepas 60 ke 70 hari dengan berat 1.5 hingga 2 kg seekor.

“Pertubuhan Gerak Tani sedia bekerjasama dengan penternak seperti Sdr Fadli untuk anjurkan kursus dan bimbingan kepada individu mahu pun organisasi bawah JPKK, Komuniti dan koperasi yang disusuli projek ternakan ayam kampung.

“Ini bagi mempastikan bekalan ayam tidak terputus. Ia menjadi hub diperingkat akar umbi,” kata beliau.

Pergiatkan projek ternakan ayam kampung ganti ayam daging yang mahal
Tinjauan projek ternakan ayam kampung berskala sederhana

Mazlan berkata, berpuluh tahun bercakap soal keselamatan makanan walaupun ia menjadi polisi negara tetapi apabila dunia dilanda krisis, harga ayam dan makanan ternakan melambung, semua pihak jadi kelam kabut.

“Demand tinggi, meskipun ada harga siling, realitinya di pasar dan kedai runcit, harga ayam daging mencecah RM12 sekilo,” katanya.

Jelasnya, kerajaan harus akui dasar keselamatan makanan negara telah gagal, kini kerajaan peruntukan ratus juta agar GLC Kerajaan ternak ayam berskala besar.

“Kita tiada perancangan strategik yang konsisten. Akhirnya, syarikat-syarikat besar yang tentukan pasaran.

“Terdedah kepada manipulasi. Selepas Kerajaan umum bawa masuk ayam import, kini sekat eksport. Tindakan adhoc untuk kontrol amarah rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Mazlan Gerak Tani sudah menjadi pemudah cara membantu penternak ayam antaranya melakukan kerjasama dengan Wak Venture Resources yang diterajui Ahmad Usri Ngadiman sejak tahun 2021.

Ahmad Usri Ngadiman telah bertindak proaktif untuk bantu pulihkan bekalan ayam bersama kumpulan penternak.

Pengalaman lebih 20 tahun dalam industri ayam dimaksimumkan mengambil alih semula projek yang sakit dan telah ditutup.

“Buka kawasan-kawasan baru di seluruh negara khususnya Johor. Bukan itu sahaja, kita bangunkan juga alternatif kepada sumber makanan ternakan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada dedak. Tanaman seperti bayam brazil, ketum ayam, rumput napier dan banyak lagi.

“Saya mengalu alukan inisiatif Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong yang ingin bersama-sama menangani isu kritikal food securiti ini.

Bahkan katanya, Liew Chin Tong telah setuju untuk mendapatkan peruntukan agar lebih banyak kursus dan bimbingan dibuat, disusuli insentif mudah merealisasikan hub ayam di akar umbi.

“Tidak kira YB Kerajaan maupun pembangkang, gerak kerja Pertubuhan Gerak Tani, merentasi politik kepartian. Inilah Malaysia Baharu yang kita impikan,” katanya lagi.

Baca juga: Lelaki ini kongsi rahsia tak rasa lapar walau ubah pemakanan

Baca juga: Berebut hasil jagung, adik tak puas hati sanggup tetak abang dengan parang