Malaysia Dateline

Perluas skop caruman Perkeso kepada skim pencen sektor swasta

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mewujudkan skim pencen kepada pekerja sektor swasta selepas kumpulan itu bersara.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan, majikan serta para pekerja boleh membincangkan mekanisme untuk memperluaskan skop caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada skim pencen.

“Sudah tentu untuk kita perluaskan skop tersebut, kita memerlukan sedikit dana atau caruman itu mungkin ada sedikit peningkatan.

“Jadi, bagi MTUC kita menyambut baik dan bersedia untuk berbincang dengan kerajaan bagaimana mewujudkan pencen pekerja-pekerja swasta ini,” dipetik AWANI.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) kepada pekerja di sektor swasta dalam Bajet 2023.

Menurutnya, kerajaan harus menggalakkan majikan di sektor swasta untuk memberikan elaun Cola, yang ketika ini dinikmati oleh penjawat awam bagi mengurangkan tekanan peningkatan kos sara hidup.

Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif khas bagi perubatan pekerja swasta yang sudah bersara.

Selain itu, kerajaan dicadang supaya satu inisiatif khas bagi perubatan disalurkan dalam memastikan kesejahteraan pekerja dan mereka yang sudah bersara mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Kita harap dalam bajet akan datang kerajaan boleh memasukkan bagaimana untuk membantu pekerja-pekerja dari segi perubatan dan kita lihat ramai yang terkesan.

“Kalau kita lihat dalam laporan akhbar minggu lepas pekerja-pekerja yang telah bersara 60 tahun, (sudah) kembali bekerja.

“Kenapa? Sebab mereka memerlukan (pendapatan) untuk menampung kos-kos perubatan mereka,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Baca juga Mana semangat jiwa Malaysia? Mansuhkan permit bagi pelaut Semenanjung yang ingin kerja di perairan Sabah, Sarawak

Baca juga Bawa watak sedih, Zizan akui babak menangis sukar dilakukan