Perlumbaan ke garis penamat PRU 15

Oleh NASUHA RAHMAN

Umum sudah mengetahui keputusan PRU 15 yang berlangsung semalam. PH mendahului di tempat pertama dengan 82 kerusi dan diikuti oleh PN di tempat kedua dengan 73 kerusi. Tempat ketiga pula dimenangi oleh BN dengan 30 kerusi.

GPS mendapat tempat keempat dengan 22 kerusi dan GRS 6 kerusi. Lain-lain mendapat 7 kerusi. 2 kerusi yang belum ada pemenang iaitu Padang Serai kerana kematian calon dan Baram kerana masalah banjir.

Keputusan PH mendahului semua parti tidak mengejutkan kerana ramai penganalisa telah membuat rumusan sebegitu. Hanya yang mengejutkan penganalisis adalah keupayaan PN untuk mendahului BN sedangkan ramalan awal adalah BN akan mendapat tempat kedua.

Dalam sistem Westminster yang menggunakan amalan ‘first past the post’ kedudukan di tempat pertama itu akan sentiasa mendahului orang lain. Timbul soalnya sekarang adalah kerana masing-masing belum mencapai ke penamat garisan iaitu siapakah yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Semalam ketika berbincang dengan teman-teman, saya menyebutkan bahawa yang akan meraih laba adalah parti yang berada tempat pertama. Parti yang berada di tempat kedua selalunya tiidak akan mempunyai nilai. Besar kemungkinan parti yang berada di tempat ketiga lebih bernilai daripada tempat kedua. Ini adalah hakikatnya yang berlaku dalam sistem ini.

Sewaktu PRU 14, PH juga menduduki tempat pertama dan telah membentuk kerajaan. Namun, kedudukan tempat pertama itu telah menjadi tempat kedua apabila sebahagian MP PKR dan parti PPBM telah bergabung dengan tempat kedua iaitu BN melalui Langkah Sheraton dan akhirnya mereka menjadi tempat pertama.

Kali ini diharapkan PH belajar daripada episod Langkah Sheraton itu dan tidak turun ke tempat kedua. Dengan kerusi PH sebanyak 82 kerusi itu maka langkah PH untuk terus mengekalkan tempat pertama itu lebih mudah kerana PH hanya perlu bergabung dengan BN (30 kerusi) untuk membentuk majoriti mudah sebanyak 112 kerusi. PH juga mempunyai pilihan lain iaitu untuk bergabung dengan blok Borneo iaitu GPS (22 kerusi), GRS (6 kerusi) dan lain-lain (Bebas – 2 kerusi, Warisan 3 kerusi, PBM-1 kerusi dan KDM – 1 kerusi) dan mencapai garis penamat dengan 117 kerusi.

Sifir mudahnya, PH mempunyai 2 pilihan iaitu bergabung dengan BN atau bergabung dengan blok Borneo. Pilihan untuk bergabung dengan BN lebih mudah kerana ianya akan menghasilkan 112 kerusi sekaligus melayakkan calon PM PH iaitu Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri. Pilihan untuk bergabung dengan blok Borneo akan memakan masa yang panjang kerana terpaksa berunding dengan GPS, GRS, Bebas, KDM, PBM dan Warisan.

Manakala, bagi PN pula yang duduk di tempat kedua akan menjadi lebih sulit untuk berunding kerana mereka hanya mempunyai 1 pilihan sahaja iaitu berunding dengan BN dan blok Borneo. PN tidak akan cukup jumlah kerusi sekiranya bergabung dengan blok Borneo sahaja kerana kerusi mereka hanyalah 73 sahaja dan jika dicampur dengan blok Borneo hanya menghasilkan 108 kerusi. Alternatif PN adalah untuk menarik sokongan sebahagian daripada MP UMNO atau MCA atau MIC untuk menyokong PN tanpa MP itu mengisytiharkan diri keluar parti. Tetapi tindakan sebegini nampaknya semacam agak mustahil buat masa sekarang.

Parti PPBM atau BN tidak akan mampu hidup lama tanpa menjadi kerajaan. Sebab itu, PPBM telah mengatur Langkah Sheraton dengan sebegitu rupa supaya mereka tetap boleh menjadi kerajaan. Begitu juga BN mereka sedar kepayahan mereka dalam masa 22 bulan PH memerintah.

PH atau PAS tidak mempunyai masalah untuk menjadi pembangkang kerana mereka lama hidup sebagai pembangkang.

Oleh itu, sekarang ini terpulang kepada Anwar Ibrahim atau Mahiaddin Yasin yang mana bergerak lebih cepat dan berjaya meyakinkan YDPA bahawa mereka memperolehi sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ingatlah prinsip ini bahawa dalam politik ini sesiapa yang lambat akan tertinggal!

Jika kita semua masih ingat peristiwa pasca Langkah Sheraton dahulu YDPA mempunyai kesukaran untuk mendapatkan bukti sokongan itu. Mula-mula diberikan Surat Akuan, kemudian dibuat temubual dengan seluruh Ahli Parlimen. Berbondong-bondong Ahli Dewan Rakyat menaiki bas menuju ke Istana Negara. Kedua-dua cara itu gagal untuk meyakinkan YDPA.

Akhirnya, YDPA hanya memanggil ketua parti masing-masing dan dengan itu YDPA telah melantik Mahiaddin sebagai Perdana Menteri ke 8. Mungkin kali ini YDPA juga perlu menggunakan kaedah yang sama seperti itu sahaja kerana negara tidak boleh dibiarkan tanpa ada Perdana Menteri yang sah.

Apa yang berlaku kemudian daripada itu sama ada pihak yang tidak berpuashati itu ingin membuat usul undi tidak percaya adalah urusan yang lain. Pokoknya, negara Malaysia tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa seorang Perdana Menteri yang akan menasihati YDPA dan menguruskan tugas-tugas eksekutif negara.

Sama-samalah kita menunggu siapakah nanti yang akan pertama sampai ke garis penamat perlumbaan PRU 15.

Baca juga: Agong minta parti kemuka gabungan bentuk kerajaan