Malaysia Dateline

“Sanggup gunakan budak-budak” – Pakar motivasi tegur video murid tadika disuruh buat trend ‘sarung cincin’

Sejak semalam, tular satu video memaparkan dua orang kanak-kanak tadika meniru trend ‘sarung cincin’ dan kemudian berjoget seperti yang sedang popular di media sosial TikTok.

Hal berkenaan telah menarik perhatian pakar motivasi yang sering memperjuangkan kanak-kanak, Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang tampil membantah video berkenaan kerana dilihat seolah menggunakan murid sebagai konten TikTok.

Menerusi hantaran di Facebook, Fairuz menyatakan rasa terkejut dan mempersoalkan mengapa tenaga pengajar berkenaan menyuruh murid melakukan perkara yang tidak sewajarnya.

“Bila saya tengok je terus rasa, Ya Allah, apa benda ini? Cikgunya tak ada kerja lain ke? Demi secebis konten, sanggup gunakan budak-budak untuk ikut trend video Tiktok?

“Ada ke disuruh budak lelaki sarungkan cincin pada jari budak perempuan. Elok disarung, terus budak tu joget-joget sambil tutup muka. Kau ingat benda ni kelakar ke? Nampak sweet bila budak kecil yang buat?

“Elok-elok budak diajar pasal sentuhan selamat dan sentuhan tak selamat, kau pula ajar mereka bersentuh-sentuhan begini,” katanya.

Pada masa sama, Fairuz bertanya adakah guru berkenaan mahu menormalisasikan budaya couple pada budak-budak kecil kerana perbuatan tersebut jelas tidak beretika dan melampau biarpun ada yang memberitahu hubungan kedua-dua murid berkenaan adalah sepupu.

“Saya tak pastilah apa reaksi ibu bapa kepada anak-anak ini saat menonton video berkenaan. Namun bagi saya perbuatan seperti ni tidak beretika dan melampau. Ni kalau tak dibendung, tak tahulah video jenis apa lagi boleh muncul.

“Ada yang bagi tahu, individu yang merakam video mendakwa kedua murid berkenaan sepupu. Tapi persoalannya adalah kau ajar apa sebenarnya ni? Patutnya kau didik anak-anak ini membezakan apa yang baik apa yang buruk, membezakan dosa dan pahala serta jangan main ikut je trend yang tah apa-apa,” katanya lagi.

Baca juga: Filem 35mm berjaya kutip RM1 juta dalam tempoh 7 hari, Syahmi beri jangkaan hasilkan filem ketiga

Baca juga: Tak serik berumah tangga, Shila Amzah yakin tak semua lelaki sama