Pesta Halloween berdarah – Entah apa punca orang ramai berasak hingga 151 orang terbunuh

Oleh ARIF ATAN

Belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan orang ramai memasuki lorong menuruni bukit yang sempit ketika berlangsungnya pesta Halloween hingga sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dalam rempuhan maut di Itaewon, Seoul, Korea Selatan.

Seorang mangsa yang terselamat berkata orang ramai mula jatuh dan menghempap satu sama lain di lorong sempit “seperti permainan domino” selepas ditolak.

Dalam masa sama, 156 lain cedera dalam perkumpulan besar anak muda yang terperangkap dan tersepit di kawasan mesra ekspatriat yang terkenal dengan bar, kelab dan restoran terkini itu.

Kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berusia dalam lingkungan 20-an.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim, berkata mereka yang terperangkap berhampiran Hotel Hamilton itu selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan.

Lapor AP, kebanyakan mangsa mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas, memetik akhbar Hankyoreh.

Pekerja kecemasan dan pejalan kaki dilihat giat melakukan bantuan pernafasan ke atas mangsa yang terbaring selepas dihempap.

Ketua jabatan bomba Yongsan Seoul, Choi Seong-beom, berkata angka kematian mungkin meningkat dan jumlah mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan kritikal masih belum dapat dipastikan.

Kira-kira 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak pandemik Covid-19 bermula.

Baca juga Laju melulu, main telefon, tak pakai tali pinggang keledar – Pemandu wanita ini teruk kena kecam

Baca juga Nak ‘cash out’ duit pun susah, lelaki ini tunjuk betapa sempit ruang mesin ATM di negaranya buat ramai gelak besar