Malaysia Dateline

PH belum terlambat rangka dasar ekonomi, promosi integriti yang tidak mungkin diciplak PN-BN

Sering kali orang akan merujuk kepada sejarah untuk meramalkan kejadian pada masa akan datang. Sejarah ini mempunyai pola untuk berulang. Barangkali sebab itulah orang akan merujuk kepada sejarah untuk membaca masa depan.

Tulisan ini merujuk kepada tulisan oleh Profesor Emeritus Clive S. Kessler pada tahun 1986 iaitu “Perluasan Islam dan Pertentangan Budaya dalam Masyarakat Melayu Kontemporari” yang dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Tamdun Melayu di Kuala Lumpur pada Ogos 1986.

Sorotan yang dibuat oleh Prof Kessler ini hanya kepada parti politik Melayu yang utama pada masa itu iaitu Umno dan Pas.

Beliau melihat bagaimana Umno bangkit setelah kalah pada tahun 1969 dan Pas yang pada ketika itu sedang naik tetapi runtuh ranap selepas bergabung dalam Barisan Nasional (BN) dan kemudiannya naik semula apabila pimpinan baru mengambil alih.

Seperkara yang menarik, ucapan penutup persidangan ini dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak yang menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 13 November 1986.

Antara isi ucapannya adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pengajian Tamadun Melayu. Namun, sehingga kini nasib Melayu masih terumbang-ambing dan Kuala Lumpur masih belum menjadi Pusat Pengajian Tamadun Melayu.

Maka, nasib seminar antarabangsa mengenai bahasa Melayu yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini mungkin hanya akan dapat dilihat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang sama ada benar-benar bahasa Melayu akan menjadi bahasa antarabangsa atau sekadar program untuk meraih sokongan politik kebangsaan sahaja.

Prof Kessler menyatakan:

“Selain daripada rasa tidak puas hati golongan bukan Melayu, pilihan raya pada 1969 juga memperlihatkan betapa lemahnya sokongan orang Melayu terhadap Umno dan parti-parti komponen dalam Perikatan.

…Keupayaan Pas mendapatkan jumlah undi orang Melayu yang hampir sama banyak seperti yang diterima oleh Umno merupakan suatu kejayaan bagi Pas.

Pas dapat mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai parti pembangkang kebangsaan yang sebenarnya, tetapi juga sebagai musuh Umno dan mengancam keutuhan penguasaan Umno ke atas undi masyarakat Melayu Semenanjung.

Pilihan raya 1969 mempersoal andaian yang wujud selama ini bahawa Umno adalah dan akan sentiasa menjadi parti kerajaan, yang memerintah.

Parti-parti pembangkang yang lain mencabar parti-parti bukan Melayu yang berganding bahu dengan Umno. Dengan memperoleh sokongan yang kuat daripada orang Melayu sebagaimana yang diperoleh oleh Umno. Pas secara terus mencabar kedudukan Umno, bukan sahaja dalam kalangan komuniti Melayu tetapi juga sebagai teras yang tidak boleh digugat oleh sebarang bayangan kerajaan Malaysia.

Namun, kejayaan hasil daripada tindakan yang diambilnya merupakan inti kepada keruntuhan Pas.

Menyedari kelemahannya, Umno tidak lama kemudian memberikan tindak balas terhadap perkembangan pilihan raya dan dan terhadap demonstrasi anti kerajaan dan antara komunal yang telah mereka nyalakan, Umno mula, dengan mengadakan pelbagai perubahan pada polisi dan perlembagaan dan pembentukan kesatuan BN, mengorganisasikan semula keadaan politik Malaysia.

Keadaan ini mengarahkan Pas kepada satu era sejarah yang baharu. Kesatuannya, kewibawaannya dan keberkesannya akan tergugat apabila ahli-ahlinya mula mengalami dilema sama ada untuk mengikut serta menentang atau menjauhkan diri daripada Perikatan.

Akibat konflik dalaman ini akan terus menggugat setidak-tidaknya sehingga satu kepimpinan yang baru dapat mengawal parti pada tahun 1983.

Akhirnya, Pas bersetuju bergabung dengan BN kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperjuangkan oleh Umno yang telah memperuntukkan pembangunan ekonomi orang Melayu. Ini merupakan suatu tindak balas yang serius terhadap kritikan Pas pada sepanjang tahun 1960-an.

Keputusan Pas untuk bergabung dengan BN telah dikecam. Ketidaksetiaan dan pengusiran yang telah dirangsangkannya merupakan yang pertama daripada beberapa kekacauan yang bakal dihadapinya pada abad yang seterusnya. Pertama, untuk memperoleh kedudukan politik dan seterusnya melepaskan dirinya daripada Umno.

Dari sudut pandangan kebanyakan daripada bekas atau bakal penyokongnya, Pas telah banyak bertolak ansur dengan kepercayaan masa lalunya pada tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an.

“Sebagai anggota kerajaan gabungan pada tahun 1970-an ia telah membuktikan ketidakupayaan mengadakan perubahan, kemajuan keadaan hidup yang fundamental bagi semua orang Melayu, bukan hanya yang berada di kawasan yang mudah menikmati usaha-usaha pembangunan yang selama ini ia perjuangkan.

“Pas tidak lagi boleh berdalih yang ia tidak mempunyai kuasa, sedangkan pada suatu masa dahulu, ia percaya yang ia boleh memperoleh kuasa, sebagai alasannya tidak dapat mengadakan perubahan itu.

“Tindakannya bergabung dengan pihak-pihak yang selama ini ia tentang dan ia cemuh, atas kepintarannya menghalang semangat moralnya dan suasana pengorbanan dirinya memberikan kesan yang besar ke atas penerimaan orang ramai, terutama dalam kalangan mereka yang tidak setia dan mereka yang sedang mencari arah politik orang Melayu yang baru, berprinsip dan berbudaya.

“Pas menjadi semakin asyik bukan dengan prinsip idealnya dan integritinya terhadap ikatan moralnya yang berpengaruh dengan ahli-ahli sendiri tetapi sebaliknya dan agak terdesak, ia asyik ke arah menghidupkan politik jangka pendeknya sendiri.

“Keadaan ini membuat mereka cenderung ke arah nilai yang bagi mereka yang kecewa dengan peralihan politik yang telah mereka ambil, kelihatan bukan sahaja mementingkan diri sendiri tetapi juga menyeleweng…”

Tulisan Prof Kessler ini panjang juga. Menarik pemerhatian Prof Kessler ini kerana ianya berdasarkan fakta dan bukannya sekadar telahan semata-mata.

Petikan ini diambil memandang kepada keadaan semasa yang terkini apabila Pas sudah menjadi kerajaan tetapi banyak isu yang diperjuangkan sebelum ini berlalu seperti.

Isu seperti RUU355, hudud dan qisas, aurat pramugari, pemandu mabuk, mencari pembunuh Allahyarham Adib dan lain-lain tidak dapat diselesaikan walaupun sudah 27 bulan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Selain itu, parti Umno juga perlu mengambil iktibar bahawa pada 1969, pengenalan DEB pada waktu itu telah berjaya menguatkan Umno tetapi pada masa kini belum terlihat lagi apa-apa dasar baharu yang boleh menguatkan Umno semula.

Apa yang dilihat ketika ini adalah kemenangan Umno pada PRU-15 kelak hanya akan mengukuhkan kedudukan kluster mahkamah.

Bagi PH, belum terlambat untuk merangka satu dasar yang inklusif, dasar ekonomi yang anti rasuah, anti kekayaan yang hanya berlegar dalam kalangan orang kaya.

Hasrat ini akan dapat dicapai sekiranya PH mempromosikan dasar ketelusan dan integriti yang tidak mungkin akan diciplak oleh PN atau BN.

Dasar hebat sebelum ini seperti Pelan Anti Rasuah, dasar tender terbuka, perisytiharan harta Ahli Parlimen melalui surat akuan dan disiarkan di laman web SPRM dan moratorium kepada Akta Hasutan sebenarnya memberikan keyakinan kepada rakyat dan pelabur namun hasilnya sudah pasti tidak dapat dicapai dalam tempoh 22 bulan.

Pelbagai dasar baharu ke arah ketelusan seperti pengenalan Akta Perolehan Kerajaan serta lain-lain pembaharuan perlu dihidupkan semula.

Apa yang dipetik ini hanyalah sebahagian daripada tulisan panjang Prof Kessler. Disarankan untuk dibaca sendiri untuk mengetahui keseluruhan kandungannya.

Tulisan Prof Kessler ini boleh dirujuk dalam buku Tamadun Melayu, Jilid Dua, (Prof Tan Sri Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd Rahman Al-Ahmadi), DBP, Kuala Lumpur, 1993, hlm 448-495.

Baca juga Berpecah dan tiada kuasa penyatu, PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

Baca juga Kerja 4 hari seminggu dan terima gaji penuh, UK mulakan projek perintis selama 6 bulan