Malaysia Dateline

PH-PN perlu cari formula terbaik perkukuh khemah besar pembangkang

Semua parti pembangkang atau parti-parti yang bermusuhan, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) supaya bersatu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). Hakikatnya negara akan kembali menjadi lebih kleptokrasi sekiranya BN berkuasa.

Berdasarkan ucapan dan tingkah laku para pemimpin BN ianya menunjukkan bahawa mereka akan melakukan beberapa tindakan untuk menilai kembali penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tabung Haji (TH), Felda dan beberapa agensi lainnya.

Kerajaan BN akan memastikan segala penyelewengan yang telah dibongkarkan, ditutup dan akan mengemukakan naratif baru terhadap apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PH.

Oleh itu, jangan dibiarkan BN yang hanya memiliki 42 kerusi untuk bertindak dan membuat keputusan seolah-olah mereka mempunyai majoriti dua pertiga.

BN hanyalah komponen yang kecil dan tidak akan didekati oleh parti lain sekiranya terjalin gabungan bersama antara PH dan PN.

BN sememangnya seumpama ular berbisa yang telah dipukul badannya hingga lumpuh tetapi kepalanya masih boleh bergerak.

Tanpa berfikir panjang akan bisanya patukan BN, gabungan PN melalui Langkah Sheraton telah berjaya mengubatinya, sehingga mampu menegakkan kepalanya, mula mematuk kembali mereka yang menolong dan menyokongnya.

PN yang diketuai oleh Mahiaddin Yasin telah dilabel sebagai parti lubuk pengkhianat dan telah berjaya memerintah selama 17 bulan walaupun telah didukungi oleh BN.

Namun, Mahiaddin dilihat telah memimpin sebuah kerajaan yang gagal. Atas alasan ini BN kemudiannya telah mengambil tindakan mengisytihar hilang kepercayaan terhadap Mahiaddin, menjadikan kerajaan PN tersungkur.

Pas telah dikecam dengan pelbagai label seperti ‘bohsia’ dan ‘pelacur’ oleh pimpinan Umno, malah turut diisytihar sebagai ‘jahanam’ kepada tiga pimpinan Pas termasuk Presidennya.

Tidak kurang juga kepada PH yang dihamburkan sebagai kerajaan gagal 22 bulan selepas PH berjaya membawa pimpinan Umno ke dalam mahkamah.

Oleh sebab itu, tiada alasan lagi bagi PN dan PH untuk duduk bersama berunding atas kepentingan perkara yang lebih besar manfaatnya kepada rakyat.

Hakikatnya, rakyat amat mengharapkan agar BN dilenyapkan daripada terus berkuasa. Perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat (AS) jelas memperlihatkan betapa rosaknya moral para pemimpin Umno.

Ingatlah wahai pemimpin PN dan PH, hebat bagaimanapun anda, dicium tangan, diangkat, dijulang dan sebagainya, anda tetap tidak sempurna dan perlu sentiasa mendengar dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Tiada alasan lagi bagi PN dan PH untuk duduk bersama berunding atas kepentingan rakyat.

Lebih praktikal

Terdapat makluman, tersebar bahawa usaha sedang dilakukan untuk merintis tindakan bagi mengerakkan gabungan di antara Pejuang dengan PN (Bersatu, Pas, Gerakan, Parti parti Sabah dan Warisan.

Ini merupakan langkah pertama yang amat positif. Langkah seterusnya akan lebih praktikal sekiranya dapat membawa PH untuk bersama ke meja rundingan.

Ketepikan permusuhan yang lalu (permusuhan ini tidak pun meragut nyawa sesiapa kecuali sedikit kedudukan pangkat yang dipegang sahaja) dan kebencian yang terjadi, demi untuk mengorak langkah bagi melihat negara kita lebih cepat dapat dimajukan ke hadapan.

Dalam pada itu, PH perlu lebih pro aktif untuk memantapkan gabungannya, tanpa ada rasa kepura-puraan bersama. Janganlah anggota PH merasakan parti mereka lebih hebat dari yang lain.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jelas memperlihatkan PH tidak lagi dapat bersatu hati untuk bergerak sebagai satu gabungan dengan pelbagai alasan dicipta, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah dengan tegasnya mengkesampingkan logo PH.

Pelajarilah tentang apa yang telah berlaku dan perkuatkan PH dengan kekuatan tersendiri.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu dibawa bersama bagi menunjukkan keinginan PH mempunyai komitmen untuk berpadu dengan rakan-rakan lain.

Dalam masa sama, PH perlu mewujudkan kerjasama dengan PN dalam bentuk yang boleh dikongsi bersama seperti dalam PRU-14 lalu iaitu dengan memastikan tiada pertandingan tiga penjuru dengan BN.

Melihat pada realiti politik terkini PRU-15, boleh berlangsung pada bila-bila masa sahaja. Semua pihak tidak boleh berlengah atau membuang masa. Siapa yang lambat, bukan sahaja tertinggal, malah akan berhadapan dengan ketidakpercayaan rakyat.

Percayalah, rakyat telah memberi mandat kepada PH pada PRU-14 lalu. Namun, atas wujudnya ketidakpuasan hati maka berlakulah perselisihan dan perpecahan sesama sendiri.

Hakikatnya, perbalahan dan perkelahian dalam proses pembentukan kerajaan PH merupakan sesuatu yang lumrah. Dalam teori pembentukan kumpulan Model Tuckman, hakikatnya semua pihak boleh bersatu dan bersama di peringkat fasa awal pembentukan, memandangkan tumpuan adalah kepada satu matlamat, iaitu menjatuhkan BN.

Namun, ketidakpuasan akan berlaku di fasa kedua apabila wujudnya kepentingan yang bercanggah, maka berlakulah desakan dan pakatan sulit di sana-sini sehingga berlakulah perpecahan seperti apa yang berlaku pada Langkah Sheraton.

Hakikatnya, ini adalah adat dan resam ketika berada dalam kumpulan yang pelbagai latar belakang, masing-masing dengan kumpulan dan ingin membina kekuatan kumpulan.

Justeru, alangkah indahnya jika dapat bersama semula sebagaimana fasa awal untuk menentang BN.

PH berdepan situasi genting pada PRU-15 jika gagal perkukuh khemah besar pembangkang.

Tiga gabungan

Mengimbas kembali realiti PRN Johor dan Melaka, rakyat sememangnya telah membuat keputusan bahawa mereka perlukan parti yang kukuh dan mampu menunjukkan kesepakatan bersama.

Kemunculan parti-parti baru atau kecil (Putra, Pejuang dan lain-lain) yang bertanding secara bersendirian tidak mendapat sambutan dalam arena politik. Hampir semua parti kecil yang bertanding secara bersendirian telah kehilangan wang pertaruhan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat, selaku pengundi mempunyai keupayaan menilai kedudukan pengaruh sesebuah parti politik, yang perlu dipilih untuk membentuk kerajaan pada peringkat negeri.

Senario keputusan pemilihan ternyata telah terbahagi kepada tiga gabungan yang besar iaitu BN, PN dan PH.

Mengikut analisis data yang dikumpulkan, gabungan yang mempunyai keahlian yang ramai sememangnya mampu untuk meraih kemenangan tanpa perlu terlalu bergantung kepada pengundi atas pagar.

Hal ini dapat dilihat dalam PRN Sabah, peratus keluar mengundi berjumlah 66.61% atau 750,000 orang daripada sejumlah 1,667,061 pengundi berdaftar. Jumlah undi kemenangan yang diperolehi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejumlah 43.2% atau 324,000.

Umno Sabah mempunyai keahlian sekitar 584,000 ahli berdaftar. Ini bermakna bahawa kelebihan ahli yang keluar mengundi daripada kalangan ahli umno telah memberi kemenangan bukan saja kepada BN malah PN.

Begitu juga di Melaka, mereka yang keluar mengundi hanya 65.85% atau 326,086 orang daripada 495,195 pemilih. Undi kemenangan BN sejumlah 40% atau 198,000 pengundi sahaja. Keahlian Umno Melaka sejumlah 123,000 orang telah menyumbang melepasi 60% jumlah pengundian.

Selanjutnya, dalam PRN Johor, keahlian Umno Johor sekitar 452,000 orang telah memberi sumbangan kepada jumlah undi kemenangan sebanyak 599,095 undi.

Ini juga menunjukkan keahlian Umno yang ramai telah memberi kelebihan dengan 75% daripada sokongan ahli.

Manakala dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sememangnya sudah dijangkakan yang mana keahlian Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melebihi jumlah keahlian parti-parti lainnya.

Hanya sekitar 60.67% atau 759,627 orang keluar mengundi daripada keseluruhan pemilih berdaftar 1,252,014 dengan undi popular sekitar 60% atau 455,776 daripada 759,627 yang keluar mengundi.

pengundi atas pagar
PH dan PN tidak mempunyai keahlian yang ramai dan sangat bergantung kepada pengundi atas pagar.

Pengundi atas pagar

Kesimpulannya, bagi PH dan PN yang tidak mempunyai keahlian yang ramai dan sangat bergantung kepada pengundi atas pagar ternyata keadaannya tidak memberi kedudukan yang selesa.

Walaupun PH berasa gembira dengan lulusnya undang-undang berkaitan pengundi baru 18 tahun, dianggap secara automatik akan memberi kelebihan kepada PH.

Namun, ternyata berdasarkan PRN Johor, pengundi ini mengambil sikap tidak mahu terlibat dalam PRN.

Peratus keluar mengundi sekitar 56% menunjukkan bahawa hanya pengundi yang terdiri daripada ahli parti dan penyokong tegar sahaja yang terlibat dalam PRN itu.

Berpandukan senario semasa politik yang wujud, maka untuk mengalahkan BN, parti-parti pembangkang perlu bersatu dalam satu gabungan.

Persoalannya, bolehkah khemah besar yang menggabungkan parti-parti pembangkang ini dibina untuk berhadapan dengan BN dalam PRU-15?

Apakah bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan dengan PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan STAR?

Bagi PH, Langkah Sheraton amat perit yang telah menikam belakang dengan begitu parah dan sangat mencengkam ke dalam jiwa semua pimpinan dan anggotanya terutama dengan apa yang dilakukan oleh Bersatu dan 10 bekas anggota PKR.

Adakah untuk dibiarkan sebagaimana keputusan PRN Johor yang merugikan kedua-dua pihak iaitu PH dan PN dengan memberi keuntungan besar kepada BN, walaupun analisis menunjukkan hampir 20 DUN yang bertembung boleh mengatasi jumlah undi diperolehi BN?

Apakah tiada formula yang boleh memberi kelebihan bersama PH dan PN dalam menghadapi PRU-15 nanti?

Justeru, disarankan tiga langkah berikut perlu digerakkan oleh PH dan PN, bagi memperkukuh kerjasama politik untuk menghalang BN daripada terus berkuasa dalam PRU-15.

1. Wujudkan kumpulan perunding yang dapat duduk bersama untuk mencari formula terbaik.

2. Bagi langkah awal, PH dan PN perlu berundur ke belakang sejenak, kembali kepada keputusan 21 Februari 2020 atas persetujuan untuk membenarkan Tun Dr. Mahathir meneruskan jawatan Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

3. PH dan PN tidak perlu bergabung, sebaliknya menjalinkan hubungan politik dalam konteks kerjasama untuk menghadapi BN dalam PRN-15.

*DR. ABDUL RAHMAN AHMAD merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Academy.

Baca Berpecah dan tiada kuasa penyatu, PH perlu buat gabungan besar termasuk dengan PN

Baca Pembeli tertipu beli roti john hangit siap bungkus