PH tidak terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk teruskan MoU atau tidak kerana MoU tersebut adalah persefahaman di antara Pakatan Harapan dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan Umno.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, sebarang keputusan dan isu berkenaan MOU tersebut perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh pelbagai parti dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.
“Keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tidak meneruskan MoU dengan Pakatan Harapan selepas 31 Julai 2022 adalah urusan di antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya.
“Terdapat juga percanggahan pendapat di kalangan parti-parti dalam Blok Kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti yang dilaporkan oleh pihak media,” kata beliau.

Bagi Pakatan Harapan, Loke berkata, isu yang paling penting ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MOU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.
“Dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihanraya DAP mesti bersiapsiaga sepenuhnya menjelang bulan Ogos 2022,” ujarnya.
Justeru, dalam apa keadaan sekali pun, beliau yakin bahawa DAP dan Pakatan Harapan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang.
Baca juga: Teruskan MoU atau tidak tertakluk keputusan PM bukannya Umno, kata AMANAH