Malaysia Dateline

Pihak manakah yang bercelaru sebenarnya? 3 fakta ini menunjukkan Pas sebenarnya bercelaru

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru baru ini yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti “mi segera tidak masak” dan “bercelaru” sebenarnya memberi gambaran yang negatif yang salah.

Sebagai sebahagian daripada Kerajaan PH pada masa itu, dan mempunyai fakta sebaliknya tentang beberapa tuduhan tersebut, saya terpaksa memperbetulkan tuduhan tuduhan tersebut.

Pertama, kerana kerajaan PH “masak” lah dalam tahun pertama memerintah kami mengenepikan fahaman politik demi nasib rakyat Terengganu dan Kelantan untuk mengembalikan bayaran wang royalti hasil minyak dan gas, kepada kedua dua negeri tersebut walaupun ianya dibawah pentadbiran parti pembangkang iaitu Pas.

Sebagai Pengerusi PH Terengganu saya sendiri telah bersetuju Kerajaan PH memulangkan kembali bayaran royalti kepada Terengganu dan Kelantan.

Wang royalti tersebut telah di tarik balik oleh Kerajaan BN-Umno apabila Pas memerintah Terengganu pada tahun 1999.

Malangnya pada tahun 2021 setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas merampas kerajaan, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul, telah membatalkan semula pembayaran wang royalti tanpa apa apa bantahan oleh Pas sehingga hari ini.

Keduanya, kerana memikirkan “masak-masak”lah, walaupun kehilangan hasil pendapatan yang banyak, demi kebaikan masyarakat serta kesan negatif kerajaan PH telah mengurangkan cabutan judi kepada 8 kali setahun sahaja.

Malangnya apabila kerajaan PN yang di anggotai Pas mengambil alih Kerajaan, cabutan undi telah dinaikkan semula kepada 22 kali setahun tanpa apa apa bantahan dari parti Islam Pas sehingga hari ini.

Adakah menteri menteri Pas semasa mesyuarat Kabinet tidak membantah penambahan semula cabutan judi walaupun di luar dahulu Pas menuntut pengharaman judi yang memporakperandakan keluarga dan bertentangan dengan ajaran Islam atau adakah kerusi kedudukan peribadi sebagai Menteri mereka lebih penting ?

Kini Pas lantang membantah konsert tetapi judi yang begitu luas kesan negatif kepada seluruh keluarga “diliberal kan” dengan penambahan aktiviti cabutan judi.

Ketiga, setelah memikirkan ‘masak masak’ masa hadapan Tabung Haji- TH dan umat Islam, kerajaan PH dalam masa yang singkat telah menyusun semula dan menyelamatkan TH di mana PH telah menerima pujian dari Ketua Audit Negara atas tindakan tersebut.

Kerana keadaan kewangan yang sihat, TH pada bulan Mei 2022 baru baru ini telah berjaya membeli hartanah bernilai RM1.8 Billion di London.

Selain dari isu isu tersebut di atas, kerajaan PH telah juga memulangkan kembali integriti badan Kehakiman yang membolehkan tercapainya pengadilan yang tegas ke atas bekas Perdana Menteri baru baru ini dan penerusan banyak lagi kes berprofile tinggi bekas pemimpin di bawah tuduhan rasuah.

Tindakan ini semua adalah mengikut tuntutan agama Islam dan juga agama-agama utama lain.

Saya berpendapat kenyataan Presiden Pas tentang tuduhan ” mi segera tidak masak” adalah tidak tepat kerana dalam masa 22 bulan kerajaan PH telah memulakan banyak proses perubahan negara yang telah dibentuk cara serta budaya permerintahan BN-Umno selama lebih 60 tahun atau 720 bulan !

Tidak mungkin kerosakan dan budaya lama yang berlaku selama 720 bulan boleh dibaiki dengan sempurna dalam hanya 22 bulan.

Persoalannya kenapakah Pas bersetuju kembali kepada zaman budaya lama dengan merestui pembatalan hak wang royalti kepada negeri Terengganu dan Kelantan negeri Pas sendiri ?

Soalannya lagi, kenapa pengurangan cabutan judi oleh PH dari 8 dinaikkan kembali kepada 22 kali oleh kerajaan PN tidak dibantah Pas yang pernah meminta pengharaman judi ?

Di manakah letak kecelaruan kerajaan PH seperti tuduhan Presiden Pas, atau adakah kecelaruan sebenarnya berlaku di pihak lain yang membentuk kerajaan ‘tebuk atap’ melalui langkan Sheraton ?

Baca juga: Terbangkan dron pada sambutan Hari Kebangsaan tanpa kelulusan boleh didenda RM500,000

Baca juga: “Kita ada hak untuk memilih” – Wanita dihentam netizen sebab kupas kulit bawang sebelum beli