Malaysia Dateline

Pilihan raya Padang Serai warisan rantak tempo PRU15, kemaraan politik peras ugut

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Padang Serai (PRPS) sememangnya telah dijangka, meski pun majoritinya agak besar, 16,260 undi. Namun itulah keputusannya, biar pun mungkin terdapat beberapa pihak yang agak ralat dengan majoriti diperolehi.

Begitu pun keputusan PRPS, realitinya bukan merupakan penunjuk yang signifikan untuk mengukur tahap kewibawaan dan keabsahan kerajaan yang baru terbentuk, kerajaan perpaduan.

PRPS sebaliknya terikut-ikut dengan rentak PRU15, perubahan sokongan pengundi Melayu yang terpengaruh dengan dakyah dan propaganda PN, kononnya PN pembela Melayu-Islam.

PRPS diadakan dalam tempoh 19 hari daripada tarikh PRU15, bermakna PRPS merupakan sebahagian daripada fenomena PRU15, oleh itu wujudnya ciri-ciri yang sama dengan apa yang terhasil dalam PRU15, sememangnya tidak boleh dinafikan.

Daripada sudut lain, PRPS sebenarnya banyak memberi kelebihan kepada calon PN, memandangkan gerak kerjanya telah pun bermula sejak tarikh 5 November 2022 (sebaik saja penamaan calon PRU15 selesai), sedang gerak kerja calon PH hanya bermula pada 24 November 2022, iaitu sebaik sahaja sesi penamaan calon yang baru dimuktamadkan.

Walau pun PH telah juga memulakan kempennya sebaik saja penamaan calon 5 November 2022, namun perlu diingat bahawa calonnya telah bertukar, bukan calon yang asal, sebaliknya merupakan individu lain, calon yang baru.

PRPS ditunda/tangguh disebabkan kematian calon PH yang asal. Ini bermakna calon PN telah membina hubungan yang kuat dengan pengundi dan telah bertapak sejak 5 November 2022. Calon PN ini juga telah menggerakkan momentum kempennya yang dilakukan semenjak 5 November 2022, sehinggalah ditangguhkan pada 16 November 2022.

Inilah kelebihan utama calon PN yang sudah sedia menunggu dalam gelanggan dan telah siap disintuk limau. Calon PH, baru memulakan langkah, mencari rentak bunga tari.

Secara perbandingan calon PN mempunyai masa selama 24 hari untuk berkempen, sebaliknya calon PH mempunyai masa 14 hari untuk melakukan gerak kerja pilihan raya. Merangsang momentum gerak kerja dan menampilkan diri dikhalayak pengundi.

Dalam kes ini, calon PN sudah pun berjaya bertapak dikhalayak pengundi, sedangkan calon PH terpaksa bermula daripada sifar.

Keadaan ini tentunya mengganggu tempo dan rentak penyelarasan kerja jentera pilihan raya PH dalam mengatur pergerakan calon serta membina interaksi calon dengan pengundi.

Jurang waktu antara 16 November 2022 sehingga kepada tarikh penamaan semula calon pada 24 November 2022 sebenarnya telah memberikan kelebihan kepada calon PN untuk melakukan kempen senyap.

Jentera kempen PN tentunya bergerak meneruskan kempen, memandangkan mereka telah pun mempunyai segala bentuk persiapan material untuk disebarkan kepada pengundi. Kempen senyap ini, secara tidak langsung memberikan pulangan laba yang menyumbang kepada kemenangan PN dalam PRPS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sewajarnya mencari kaedah yang lebih dinamik, bagi mewujudkan keadilan terhadap mana-mana calon yang bertanding dalam kes-kes luar jangka sebagaimana dalam situasi yang berlaku dalam PRPS, juga Pilihan Raya Tioman (PRT).

Dalam PRPS, secara tidak langsung telah berlaku ketidakadilan terhadap calon yang baru dinamakan untuk menyediakan prasarana dan menampilkan diri untuk berkempen, terutama jika ditinjau dalam aspek ruang waktu, berbanding dengan calon PN yang telah tersedia dicalon.

Secara relatif, calon yang sememangnya telah sedia berada dalam gelanggang, realitinya mempunyai jangka waktu yang agak lebih panjang dan lebih berfokus untuk menyediakan diri dan merancang pelbagai aspek teknikal dan taktikal.

Berdasarkan kedudukannya yang tersedia wujud dalam komuniti serta dimaklumi dan dikenali, sememannya menjadi satu kelebihan kepada calon PN PRPS untuk mempengaruhi pengundi dengan lebih luas.

Realitinya calon PH berdepan dengan cabaran sukar untuk membentuk pendekatan dan strategi politik untuk meraih sokongan pengundi dan pada masa yang sama untuk meyakinkan pengundi terhadap kewibawaannya sebagai calon PH.

Sebaliknya calon PN yang sememangnya sudah sedia bertapak, tentunya telah mantap dalam aspek persiapan, strategi dan kekemasan langkah tindakan, memandangkan telah pun wujud peluang terbuka sejak daripada awal untuk meneroka setiap penjuru gelanggang.

Dalam hal ini, sepatutunya SPR perlu mentafsirkan Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, secara lebih anjal bagi memberikan peluang dan ruang yang lebih adil kepada calon yang baru dicalonkan untuk membina interaksi dan jalinan hubungan dengan pengundi.

Perhatian perlu diberikan terhadap kelebihan ruang dan waktu yang telah sedia dinikmati oleh calon yang telah sedia tercalon, sebaliknya merupakan satu “kecacatan” kepada calon yang baru melangkah ke dalam gelanggang.

Bermakna SPR perlu melaksana pilihan raya berdasarkan proses dan prosedur yang lebih bersifat situasi “menang-menang”. Kes PRPS, hakikatnya juga berlaku dalam Pilihan Raya Tioman (PRT), namun keadaan di PRT memperlihatkan kedudukan BN yang lebih bernasib baik.

Kedudukannya sebagai calon yan telah sedia berada dalam gelanggan, sememangnya telah menguasai gelanggang, membolehkan calon BN memenangi pilihan raya tersebut, namun majoriti undi yang diperolehi adalah kecil, 573 undi.

Keadaan ini memperlihatkan, sekiranya calon PN merupakan calon yang sedia menunggu di dalam gelanggang, tersiap rapi dengan segala persediaan dan strategi yang mantap, keadaan sebaliknya berkemungkinan besar akan berlaku, calon PN akan menang dengan majoriti yang besar, berdasarkan ikutan tempo PRU15.

PRPS khusunya dan PRT umumnya adalah merupakan lanjutan, bahkan merupakan sebahagian daripada PRU15. Maka segala bentuk sifat, pola dan tingkah laku pengundi PRU15 terus menjadi fenomena yang diwarisi dan mempengaruhi pandangan pengundi dalam membuat keputusan pendirian politik.

Satu perkara yang jelas, unsur-unsur peras ugut sosial yang dilakukan oleh PN dalam PRU15 masih tetap hidup dan menular dalam PRPS dan PRT, ceramah-ceramah politik PN (PAS) masih membangkitkan isu-isu agama dan pertentangan sosial, soal naratif rekaan, Melayu-Islam “terancam” tetap menjadi tema utama para penceramah PAS khususnya.

Terdapat pemimpin PAS yang menganggap memilih selain daripada PN, (maksudnya memilih PH), akan menjadikan “tanah ini terjajah,” putaran bahayanya DAP yang kononnya penyebar “komunisme” diecer merata ke dalam khalayak pengundi tanpa mempunyai rasa tanggungjawab terhadap fakta dan undang-undang.

Jelasnya, kempen-kempen PN berterusan mengembangkan unsur perasangka dan kecurigaan. Pada masa yang sama melaksanakan proses indoktrinasi, bahawan Islam selain daripada di panggung oleh PAS, merupakan Islam yang salah, hanya PAS kononnya pejuang Islam sebenar.

Doktrin ini amat melekat ke dalam alam pemikiran masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.

PRPS dan PRT tidak boleh dijadikan sandaran untuk menjustifikasikan penolakan rakyat terhadap kerajaan persekutuan gabungan antara parti; PH, BN, GPS, GRS dan lain-lain parti yang berkongsi idealisme yang sama, ke arah pembentukan negara yang mementingkan agenda kesejahteraan rakyat.

Tidak ada kewajaran hujah untuk menafi dan menidakkan kepentingan pembentukan kerajaan gabungan tersebut, khususnya berdasarkan senario realisme politik.

Terkecuali PN yang masih tenggelam dalam dunia fantasi, kononnya “sudah cukup jumlah, melebihi daripada cukup.” PN hakikat sedang bergelut dengan realiti penasaran politik dan kecundang idea dalam memahami realisme politik.

Fantasi ini, sebenarnya amat merbahaya kepada kestabilan politik, menjadi ancaman terhadap kedudukan kerajaan, memandangkan pemikiran sebegini adalah secara psikologinya merupakan pemikiran pemusnah, pemisah dan perosak sosial (Fahaman politik 3Ps).

Pendokong pemikiran ini akan sentiasa membina peluang dan ruang untuk meruntuhkan kerajaan yang sedia terbina dengan apa cara dan kaedah. Jelasnya pemikiran “langkah Sheraton,” merupakan tunjang pegangan yang ditanam ke dalam benak pemikiran setiap anggota kumpulan dan individu yang menjadi penganut kepada fahaman politik 3Ps ini.

Ekoran daripada keputusan PRU15, juga PRPS dan PRT, maka tindakan segera perlu dilakukan untuk mencegah semua pihak daripada menggunakan perkataan Islam secara eksklusif ke atas pertubuhan politik atau pun pertubuhan-pertubuhan sosial, memandangkan terdorong kepada penyalah tafsiran dan mengundang kepada ketaksuban politik dan penyisihan sosial.

SPR perlu meminda peraturan dan prosedur pilihan raya, membatalkan pencalonan seseorang calon yang terkait dengan ceramah atau syarahan yang menyentuh unsur-unsur takfiri, sama ada secara langsung dilakukan oleh calon terbabit, wakilnya atau penceramah-penceramah politik yang berkempen untuk calon-calon berkaitan.

Baca juga: ‘Fun Fair’ diarahkan tutup melibatkan kanak-kanak dan dua wanita