Malaysia Dateline

PDRM

‘Pindah ke negeri lain macam sebar Covid-19’, rakyat desak pecat saja anggota polis terlibat salah laku

Rakyat mendesak kerajaan supaya memecat sahaja anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat salah laku bukannya memindahkan mereka ke negeri lain.

Reaksi itu susulan keputusan awal pertukaran sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, tindakan itu akan dikaji semula selepas kerajaan negeri Sarawak mahu PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah.

“Tidak wajar hantar anggota polis bermasalah ke tempat lain. Ini seperti meyebar penyakit Covid-19 ke wilayah lain,” bidas A Manaf Ahmad.

Bekas pegawai polis, Che Khazahari Amat pula berpendapat PDRM sepatutnya sudah matang daripada segi pentadbiran, pengurusan dan keselamatan.

Menurutnya, hal pertukaran pegawai dan anggota setiap tahun atau setiap masa sememangnya berlaku.

“Jika masih ulangi perkara yang sama, kaji, kaji ianya mengambarkan kelemahan ketara organisasi PDRM,” katanya.

Ramai juga berpendapat kajian semula berhubung keputusan memindahkan anggota terbabit dilihat berlaku selepas Sabah dan Sarawak ‘berkecil hati’.

“Bila orang Sabah dan Sarawak rasa tersinggung dengan kenyataan itu barulah nak sedar, ya,” kata Zamri Zainal Abidin.

Tindakan buang kerja juga digesa patut dilakukan memandangkan ramai lagi belia yang berintegriti mahu menceburi kerjaya dalam PDRM.

“Baru nak kaji. Dah lama hantar yang bermasalah ke sana walaupun tidak semua. Kasi buang sajalah. Ramai lagi ada yang nak kerja,” tegas Haq Farhan Danish Firas.

Baca juga ‘Elok sangat polis, SPRM siasat sesiapa yang berpengaruh dulu sebab Pak Mail fokus Keluarga Malaysia’

Baca juga 3 anggota polis ditahan didakwa ‘ambil’ RM45,000 ketika buat serbuan