Malaysia Dateline

PLUS keluarkan cadangan waktu perjalanan balik kampung Aidilfitri ini

PLUS mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada 29 April hingga 9 Mei 2022.

Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari sahaja lagi.

TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang, di mana lebih daripada 2 juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Pengguna ke destinasi seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10:00 pagi.

PLUS menjangka kira-kira 2 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya.

“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,” kata ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Di samping jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

BALIK KAMPUNG BERAYA – Perjalanan dari Lembah Klang (pada 29 April hingga 2 Mei 2022)

Bagi pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10:00 pagi.

Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 petang.

“TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, Insyallah,” tambah Datuk Zakaria.

PULANG KE BANDAR – Perjalanan Kembali ke Lembah Klang (pada 5 Mei – 9 Mei 2022)

Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pelanggan lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9:00 pagi.

“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini,” kata beliau.

“Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9:00 pagi. Manakala, tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga 7 jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9:00 pagi,”katanya lagi.

Dalam pada itu, pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Selamat memandu!

Baca juga: Seorang ayah terkejut terima surat saman kerana bayang kereta memasuki petak parkir OKU