Malaysia Dateline

PM10: Mampu membawa Malaysia ke hadapan, keluar dari kegelapan

Usul percaya kepada PM 10 telah dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali pertama pada 19 Disember 2022. Dalam kelas Perlembagaan di universiti semasa belajar pada tahun 1990-an dahulu para pensyarah tidak mengajar tentang usul percaya ini.

Apa yang diajar pada waktu itu adalah usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada saat beliau hilang keyakinan sebahagian besar ahli dewan. Usul undi tidak percaya ini juga tidak disebut di dalam Perlembagaan tetapi ianya diajar semasa pelajar belajar mengenai prinsip kabinet dalam subjek Perlembagaan. Pada masa itu, pensyarah lazimnya akan menyebut kes Stephen Kalong Ningkan sebagai asas kepada hal ini apabila berbincang mengenai kedudukan seorang Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti ahli dewan.

Usul undi tidak percaya ini pernah menjadi sebutan ramai pada 18 Mei 2020 tatkala Tun Mahathir telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Dato’ Mohd Ariff Yusof terhadap Tan Sri Mahiaddin Yasin. Akibat daripada itu, Tan Sri Dato’ Mohd Ariff sendiri terkorban setelah diusulkan untuk digantikan Speaker baharu dengan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pelbagai usaha telah dibuat ketika itu untuk menggagalkan usul undi tidak percaya terhadap Mahiaddin. Kerajaan sendiri pada ketika itu, melalui Menteri Undang-Undang iaitu Dato’ Seri Takiyuddin Hasan telah membuat tiga usul kerajaan pada tarikh persidangan pada 18 Mei 2020.

Padahal sebelum itu hal ini tidak pernah disebut atau dibangkitkan untuk mengemukakan tiga usul yang tidak kena mengena mengenai keabsahan kedudukan Mahiaddin. Tiga usul itu adalah berkenaan perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan (select committee) serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Begitu juga, apabila Speaker menerima usul mendiang Dato’ V.K Liew untuk memanjangkan tempoh persidangan Parlimen dari satu hari kepada lapan hari ianya begitu menggusarkan Mahiaddin sehingga beliau terpaksa menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis untuk memaksa Speaker untuk menamatkan sidang Parlimen sebaik sahaja titah YDPA tamat. Jadi Parlimen waktu itu hanya bersidang sehingga ke waktu tengahari sahaja. Alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Justeru, apabila PM 10 begitu berani membawa usul undi percaya ini menunjukkan keberanian yang luar biasa terhadapnya dalam menangani krisis kestabilan politik negara. Mahiaddin sendiri pun pernah mencabar PM 10 untuk membawa bukti sokongan di Dewan Rakyat kira-kira sebulan yang lepas dalam satu sidang media yang dibuat olehnya. Pada waktu itu, beliau sendiri masih menjaja 115 Surat Akuan yang dikatakan menyokongnya.

Rujukan sidang media itu boleh dilihat di link di bawah:
https://www.facebook.com/watch/?v=692914112202978

Selepas itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor iaitu Ram Karpal Singh menyatakan PM 10 tidak perlu lagi membuat usul undi percaya kerana sudah terbukti bahawa PM 10 telah mencapai jumlah majoriti. Walau bagaimanapun PM 10 tetap mahu meneruskan usul percaya ini.

Kebijaksanaan PM 10 mengolah sokongan parti-parti BN, GPS dan GRS sekaligus telah mematikan langkah politik lawannya melalui Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani dua hari sebelum berlangsungnya undi percaya ini.

Sebab itulah, dalam perbahasan undi percaya (walaupun tidak perlu pun perbahasan dibuat) pihak pembangkang cuba mengungkit bahawa Perjanjian Persefahaman ini tidak sah dan tidak berperlembagaan. Hujah tersebut walaupun nampak hebat tetapi hakikatnya ianya adalah satu kemenangan moral oleh PM 10 yang berjaya membunuh tuntas tindakan lawan politiknya persis ibarat pendekar yang membunuh lawannya dalam gerak nafas yang pertama.

Daripada sudut politik dan perlembagaan pastinya langkah PM 10 meneruskan usul percaya ini bukan sahaja membuktikan keabsahan beliau sebagai PM 10 bahkan juga berjaya mendiamkan suara sumbang lawannya yang meremehkannya sewaktu dilantik oleh YDPA.

Barangkali usul percaya ini juga adalah satu syarat yang ditetapkan oleh YDPA kepada PM 10 untuk menguji sokongan terhadapnya di dalam Dewan Rakyat sendiri. Usul undi percaya ini juga adalah satu tindakan ironis terhadap Mahiaddin sendiri yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menggagalkan usul undi tidak percaya terhadapnya pada tahun 2020.

Jika PM 10 telah diabsahkan melalui usul percaya ini maka jika berlaku lagi peristiwa tebuk atap pada masa hadapan pastinya YDPA sendiri tidak akan lagi menerima sebarang surat akuan sebagai bukti sokongan bahkan YDPA akan berkeras untuk satu usul undi tidak percaya dikemukakan di dalam Dewan bagi membatalkan usul percaya yang diperolehi oleh PM 10 ini.

Ini kerana prosiding dalam hansard dewan secara jelas menyatakan keabsahan sokongan terhadap PM 10 ini. Rekod ini mungkin tidak mempunyai nilainya sekarang tetapi ianya adalah rekod rasmi yang akan terpahat selama-lama dalam sejarah Malaysia dan akan menjadi subjek rujukan bagi seluruh pengamal undang-undang.

Ini adalah satu anjakan besar dalam sejarah perkembangan Perlembagaan Persekutuan setelah sekian lama kita hidup dengan prinsip duluan yang buruk dalam kes MB Perak, Dato Seri Nizar Jamaludin vs Dato’ Zambry Abd Kadir. Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa surat akuan sah digunakan untuk membuktikan kehilangan sokongan kepada Menteri Besar dan sokongan kepada Menteri Besar yang baharu.

Begitulah sejarah perkembangan Perlembagaan khasnya berkaitan dengan perlantikan dan pemecatan Perdana Menteri berkembang dengan pesat pasca PRU 14. Perubahan ini adalah perubahan yang positif bagi perkembangan negara. Jika negara Indonesia memerlukan hampir 15 tahun setelah kejatuhan Soharto pada tahun 1998 untuk bangkit semula di era Jokowi ini maka proses yang sama di Malaysia hanya mengambil masa 5 tahun untuk mencapai kematangan demokrasi yang sama.

Kita berharap PM 10 ini mampu untuk membawa Malaysia ke arah kebangkitan semula sebagai kuasa ekonomi sekurang-kurangnya di kalangan negara ASEAN. Kita tidak mahu Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Vietnam. Kita yakin dengan kestabilan politik yang wujud pada masa ini boleh membawa Malaysia keluar daripada kegelapan ketidakstabilan politik selepas peristiwa Langkah Tebuk Atap.

Baca juga: Elak Dewan Rakyat kecoh berulang: Bekas MP ini cadang beberapa langkah

Baca juga: ‘Buat aduan di media sosial saja boleh dapat perhatian menteri’ – Rakyat luah rasa senang dengan Kerajaan Perpaduan