Malaysia Dateline

PMO sahkan Faizal dilantik Penasihat Khas PM bertaraf menteri

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengesahkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Bertaraf Menteri.

“Beliau akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi, masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi,” kata kenyataan itu yang diedarkan sebentar tadi.

Sebelum ini, tular pelantikan Ahli Parlimen Tambun yang juga ADUN Chenderiang itu untuk jawatan berkenaan ketika keabsahan Mahiaddin sebagai ketua kerajaan dipertikai.

Tular poster ucapan tahniah daripada Bersatu Bahagian Kota Bharu yang kemudiannya disahkan ketuanya, Datuk Farid Zawawi merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia.

Pelantikan Faizal sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Bertaraf Menteri diumum ketika negara mengalami ancaman Covid-19 yang semakin membimbangkan dengan dua hari berturut-turut mencatat kes harian tertinggi.

Ketika ekonomi rakyat terjejas bahkan ramai hilang sumber pendapatan, Faizal, 51, yang juga bekas Menteri Besar Perak dijangka menikmati puluhan ribu ringgit pendapatan bulanan ditambah hasil daripada lantikan tersebut.

Anak kepada veteran Umno, Allahyarham Datuk Azumu Haji Tak tersebut merupakan Menteri Besar Perak ke-13 dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga 4 Disember 2020.