Malaysia Dateline

PN kerajaan gagal: Tuduhan PH bohong, kata Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat masih menafikan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan terus menyerang Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga masih mengungkit kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Di samping itu, kemenangan yang dicapai oleh PH adalah sangat rapuh bersama janji mereka yang tidak boleh ditunaikan.

“Janji bohong yang bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah, sehingga ia menyesakkan fikiran para pendukungnya.

“Adapun tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan.

“Sepatutnya, mereka tunggu sehingga masa penamatnya,” katanya dalam artikelnya, Minda Presiden Pas bertajuk, “Selamat bertugas Kabinet baru: Tekun dan beristiqamah” hari ini.

Dalam masa sama, bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu menyifatkan PH gagal menumbangkan kerajaan PN melalui cara tebuk atap.

Hadi bahkan menganggap pihak pembangkang berterusan bermain politik ketika rakyat berdepan impak Covid-19.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang tersebut mengingatkan barisan kabinet kerajaan diterajui Ismail Sabri dengan satu pepatah Arab yang bermaksud, “Biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan.”

“Walaupun kabinet baharu kerajaan ini dikatakan sebagai kabinet kitar semula, sebenarnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.

“Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap.

“Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya.

“Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu,” kata Hadi lagi.