Malaysia Dateline

Polemik jawatan TPM serupa RUU355; kedua-duanya Pas ada dalil

Tiba-tiba kecoh politik negara kononnya ada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dijanjikan. Hari ini terdedah di media sosial satu perjanjian persefahaman antara ketua parti Bersatu dan PM.

Sebagai balasan menyokong untuk jadi PM, rupa-rupanya ada perjanjian sulit antara dua parti. Sekarang, mereka ini sedang bergasak sesama sendiri sebab jawatan TPM yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba.

Sungguh memalukan menonton gelagat politikus-politikus ini. Sepatutnya apabila dapat jawatan, berkejar-kejar selesaikan masalah rakyat terutama isu harga barang dan poket rakyat, tetapi yang dikejar jawatan yang tidak disebut di dalam Perlembagaan.

Inilah akibatnya apabila PM dilantik sesama sendiri dan bukannya atas undi rakyat. Yang diutamakan tembolok sendiri dan bukannya perut rakyat.

Yang lebih memalukan dalam adegan ini apabila wakil sebuah parti Islam yang tolong drafkan perjanjian ini. Semuanya dibuat diam-diam sehinggakan ketua parti Islam ini tidak tahu ada perjanjian. Siapa yang bermain wayang di belakang tirai, hanya masa akan tentukan.

Tup-tup wakil parti Islam itu telah mengaku menjadi tukang draf perjanjian. Tetapi, dia kata bukan satu perjanjian, cuma satu Memorandum Perjanjian (MOA-Memorandum of Agreement).

Walhal, dalam undang-undang, MOA adalah sama taraf dengan Perjanjian. Ia dilihat seolah-olah perjanjian ini satu cadangan sahaja dan bukannya untuk dilaksana.

Cara parti Islam ini memberikan dalil tidak ubah seperti parti ini memberikan dalil dalam polemik Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355. Hanya tinggal cadangan, sampai sekarang tidak dilaksana.

Dulu diberi dalil tunggu jadi kerajaan, tapi apabila jadi kerajaan, dalil lain pula diberikan. Seperti jawatan TPM, berpusing-pusing mencari dalil.

Politik mengunakan dalil ini sudah sinonim dengan parti Islam itu. Orang Melayu perlu sedar cara berpolitik parti Islam itu. Dalil politik bukanlah satu dalil hukum.

Hakikatnya, jawatan TPM itu tidak penting pun kerana akan menambah kos kerajaan. Sedangkan duit kerajaan sekarang pun sudah banyak digunakan bayar gaji pak menteri dan duta khas. Semua ini dibuat bagi memastikan jawatan PM.

Adilkah bagi rakyat Malaysia yang dinafikan subsidi?

Baca juga Bukan setakat 2 kolam, 100 kolam pun Pas sanggup masuk