Malaysia Dateline

Polis ambil keterangan doktor di MAEPS tengah malam tadi

Baru sahaja petang semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap semua doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Namun, tengah malam tadi, pihak polis dikatakan bertandang ke di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Twitter kempen Hartal Doktor Kontrak memaklumkan hal demikian dalam ciapan jam 12.15 tengah malam tadi.

Tindakan polis itu dipersoal memandangkan menteri sudah memberi jaminan tiada tindakan tatatertib terhadap barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam aksi itu kelmarin.

“Jadi, kenapa ganggu frontliners pada tengah malam? Bukan mereka berparti di MAEPS tu,” tempelak laman solidariti itu.

 

‘Gangguan’ terhadap mereka yang menyokong gerakan doktor muda itu berlaku ketika negara mencatatkan kematian harian tertinggi untuk dua hari berturut-turut sejak penularan Covid-19.

Tindakan polis mengambil keterangan pegawai perubatan pada waktu tengah malam juga berlaku ketika majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan diasak berbelas ribu pesakit baharu setiap hari, selain dalam masa perlu memastikan tahap keselamatan diri sendiri dan keluarga terjamin.

Sebelum ini, kumpulan tersebut mendakwa doktor di PKRC itu terpaksa membatalkan protes mereka kerana diugut oleh pihak atasan akan ditahan polis.

Dalam hal berkaitan, Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menyediakan talian hotline 010-4587548 kepada mana-mana doktor atau pekerja kesihatan yang dikenakan sebarang tindakan intimidasi atas sebarang penglibatan dalam gerakan hartal kelmarin.

Trend kes Covid-19 semakin membimbangkan dengan peningkatan kes aktif mencecah 170,224 kes dan 8,408 kes kematian setakat semalam.

Keperluan terhadap katil unit rawatan rapi (ICU) juga semakin meningkat dengan 1,023 pesakit dirawat di ICU termasuk 524 orang bergantung hayat pada bantuan alat pernafasan.