Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung dakwaan mempengaruhi Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu untuk mencampuri perbicaraan mahkamah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 April lalu dengan menamakan Dr Mahathir sebagai defendan.
Mengikut pernyataan tuntutan dalam sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen, pada 19 Oktober 2018 atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan semua pertuduhan kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Zahid, 69, mendakwa Mahathir, 97, mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya, pada Majlis Pelancaran Aspirasi Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu.
“Pada hari sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular, iaitu Astro Awani berdurasi 56 minit dan 46 saat yang boleh diakses melalui internet,” dipetik dari pernyataan itu.
Menurut plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis itu memperoleh sebanyak 23,443 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan, selain rakaman video itu dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial, iaitu akaun YouTube ‘MalaysiaGazette TV’, Facebook profil ‘Astro Awani’ dan akaun TikTok ‘MalaysiaGazette TV’.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendakwa difitnah menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Perdana Menteri bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.
“Kenyataan itu juga membawa maksud saya seorang yang bermuka-muka dan tidak boleh dipercayai.
“Setiap tindakan saya disyaki dan diragui ketelusannya serta cuba mencampuri sistem kehakiman negara,” ujarnya.
Beliau menegaskan kenyataan fitnah itu memburukkan dan merosakkan reputasi serta nama baiknya, selain menjatuhkan, merendahkan maruah serta kredibilitinya selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno.
Oleh demikian, kenyataan fitnah itu, jelasnya, dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepadanya selaku pemimpin tertinggi parti BN yang secara tidak langsung, memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding dalam PRN Johor.
Baca Kenapa Najib, Zahid ponteng Parlimen semalam timbulkan tanda tanya