Malaysia Dateline

PRU15 kali ini bukan seperti pilihan raya yang pernah kita semua lalui

Bekas penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukanlah seperti pilihan raya yang pernah kita semua lalui.

Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, kali ini rakyat Malaysia bakal memilih seorang perdana menteri untuk negara yang kita cintai.

Katanya, dalam keadaan ekonomi negara yang sedang merosot dan harga barangan makanan naik mendadak, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri paling layak untuk memulihkan masalah negara.

“Keadaan ekonomi sekarang merosot, ringgit menjunam, harga barang makanan gila meningkat, peluang pekerjaan yang semakin sempit, hilang pelaburan akibat hilang kepercayaan pelabur terhadap kerajaan sedia ada dan juga politik tidak stabil.

“Justeru, calon perdana menteri paling layak bagi memgetuai pasukan bagi memulihkan masalah negara ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar memerlukan sekurang-kurangnya 112 anak kunci untuk membuka pintu Putrajaya. 112 anak kunci akan hadir dari kerusi Parlimen saudara-saudari semua melalui Ahli Parlimen Pakatan Harapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jumlah kerusi ditandingi Pakatan Harapan keseluruhannya berjumlah 206 kerusi, manakala Barisan Nasional 178 dan Perikatan Nasional sebanyak 149 kerusi.

Mujahid akan berhadapan pertandingan empat penjuru di Parit Buntar di mana beliau akan ditentang oleh Imran Mohd Yusof (BN), Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Pada PRU14 Mujahid menang dengan undi sebanyak 16,753 dan memperoleh majoriti 3,098 undi.

Parlimen Parit Buntar mempunyai 68,502 pengundi berdaftar.

Baca juga: Wanita tertinggi dunia terpaksa berbaring guna 6 tempat duduk dalam pesawat

Baca juga: Kehadiran di Parlimen: Anthony Loke, Syed Saddiq dan Mat Sabu cemerlang tapi Hadi dan Muhyiddin paling corot