Malaysia Dateline

Pulau Pinang cadang mudahkan skim sewa beli rumah mampu milik bantu rakyat miliki rumah pertama

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang peduli dan prihatin terhadap pemilikan rumah khususnya pemilikan rumah pertama, pelbagai inisiatif telah pun dilaksanakan bagi merealisasikan aspirasi tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri berhasrat membuka ruang lebih luas melalui skim sewa beli ‘ rent to own’ (RTO) kepada rakyat yang ingin memiliki Rumah Mampu Milik (RMM) jenis C yang berharga antara RM150, 000  hingga RM300, 000.

“Sebelum ini peluang sedemikian RTO diberikan kepada mereka yang ingin memiliki RMM jenis A, iaitu rumah kos rendah pada harga RM42, 000 dan juga RMM jenis B iaitu rumah kos sederhana rendah pada harga RM72, 500.

” Bagi RMM jenis C yang akan dilaksanakan menawarkan sejumlah 44 unit secara sewa beli setelah dua buah projek dikenal pasti dan kerajaan negeri akan berusaha memastikan bekalan RMM yang mencukupi bagi keperluan rakyat negeri ini. 

“Selain itu kerajaan negeri amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu rakyat negeri ini dengan menyediakan perumahan kerana setakat ini Pulau Pinang hanya memiliki 999 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) jika dibandingkan dengan keseluruhan 114,652 unit tersebut d seluruh negara, ” ujar beliau. 

Tambahnya, sebelum ini kerajaan negeri telah pun mengenal pasti untuk membangunkan perumahan PPR bagi lima daerah negeri ini serta masih menanti maklum balas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai projek terbabit. 

Baca juga: Arab Saudi tetapkan Aidiladha 9 Julai, Hari Arafah 8 Julai