Malaysia Dateline

Rafizi berhasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, siapa yang akan berlawan dengannya?

Sudah lebih dua minggu sejak Rafizi Ramli mengesahkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, tetapi sehingga ini belum diketahui lagi siapa yang akan berlawan dengannya.

Ada dua nama disebut-sebut mahu berlawan dengan Rafizi bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Azmin Ali itu – Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR sekarang dan Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim.

Namun demikian, beberapa maklumat menyebut Farhash tidak akan bertanding jawatan itu kerana lebih selesa memberi laluan kepada Saifuddin, selain ingin memberi tumpuan menumbangkan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari bagi jawatan Ketua Cabang Gombak.

Meski pun Saifuddin disedari telah menunjukkan kecenderungan dan keghairahan yang begitu ketara ingin bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan mula mempromosikan dirinya sendiri melalui segmen “Arkib Keadilan” dalam media sosialnya serta turut menyindir-nyindir Rafizi, pengumuman rasmi untuk bertanding belum lagi dibuatnya.

Ada maklumat memaklumkan, beliau akan membuat pengumuman berkenaan sebelum bermulanya Ramadan Ahad ini atau pada minggu pertama bulan puasa nanti.

Sama ada mahu bertanding atau tidak, ia adalah hak serta pilihan Saifuddin menentukannya, apa lagi dalam PKR yang mottonya Lawan Tetap Lawan, barangkali menyertai pertandingan itu suatu keseronokan buat sesetengah orang.

Rafizi berhasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, siapa yang akan berlawan dengannya?

Tetapi, dalam konteks bertanding jawatan nombor dua dalam PKR dan kedudukan parti itu serta PH yang keadaannya kini difahami semua, memilih untuk menyertai persaingan tidak harus bersandarkan asas keseronokan semata-mata atau dengan mengungkit nostalgia silam.

Hasrat untuk bertanding semestinya disertai dengan tawaran untuk masa depan kerana itulah nilai serta erti kita menawarkan diri sebagai pemimpin.

Berbeza dengan Rafizi, sebaik mengumumkan bertanding, beliau telah menjelaskan matlamat serta tujuannya dan kemudian memperkenalkan Ayuh Malaysia sebagai gerakan untuk merangsang minat rakyat, khususnya pengundi atas pagar terhadap pilihan raya, adalah jelas fokusnya tidak tersasar.

Lantaran itu, tidak menghairankan mengapa wujud keterujaan terhadap kembalinya semula beliau ke dalam kancah politik.

Lebih menarik, malah ia sudah pun dilakukannya iaitu Rafizi berjanji untuk menjawab segala “sembang kencang dan pakar semua benda” yang ditunjukkan Najib dalam media sosial sejak tiada kuasa dengan hujah serta fakta agar rakyat tidak terus terkeliru dan dikelirukan.

Hakikatnya, memang itulah kelemahan PKR dan PH sejak dua tiga tahun kebelakangan ini sehingga Najib dengan mudah mempopularkan dirinya, meski beliau adalah seorang yang sudah dijatuhi bersalah oleh mahkamah.

Bermakna, dengan apa yang diperlihatkan Rafizi sejak mengumumkan kembali aktif ini, beliau telah menampakkan dirinya sebagai nilai tambah dan permata harapan yang berharga kepada PKR dan juga PH.

Selain kembalinya beliau bersama Nurul Izzah Anwar yang turut menyemarakkan semula angin perubahan, adalah dipercayai Rafizi tidak akan berhenti setakat gerakan Ayuh Malaysia saja bagi mendepani PRU15 akan datang dan fasa-fasa perjuangan yang seterusnya.

Bayangkan bagaimana angin perubahan akan melanda negara ini jika selepas ini dengan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam tangannya, selain bersama beberapa pendekatan baru yang akan diambilnya, beliau juga akan turun berceramah ke seluruh negara dan membuat beberapa pendedahan atau skandal dalam kerajaan sebagaimana dilakukannya sebelum PRU14 dahulu?

Apa yang ditampilkan Rafizi sekarang – tanpa keraguan – memberi lebih memberi harapan kepada PKR, PH dan Anwar menggapai cita-cita yang dikejar selama ini.

Adakah Saifuddin mampu melakukan sedemikian atau tampil lebih baik daripada Rafizi?

Sebab itu, mahu tidak mahu, Rafizi harus diberi laluan menduduki kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu Mei ini demi masa depan PKR, PH, Anwar dan agenda perubahan.

Selama ini pun, sebagai Setiausaha Agung, Saifuddin sudah ibarat pemimpin nombor dua di belakang Anwar dalam PKR, tetapi nampaknya parti itu tidak bergerak ke mana-mana, malah Anwar seperti nampak sendirian dalam banyak perkara.

Sementara diakui Saifuddin seorang penceramah yang hebat dengan kemampuan menampilkan bait-bait ayat serta perbendaharaan kata yang memukau, tetapi beliau bukan panglima yang mampu ke depan untuk menggerun, menakut dan memberi kebimbangan kepada lawan.

Jawatan sebagai Setiausaha Agung barangkali sudah cukup sesuai dan cocok buatnya.

Dengan demikian, andai tidak menjadi kesalahan, tidak menyinggung dan tidak juga dianggap suatu jenayah, ingin dicadangkan agar lebih baik Saifuddin menarik diri saja dan tidak bertanding jawatan tersebut.

Lagi pula, kata ramai orang yang ditanya, jika beliau bertanding pun, memang menang belum pasti, tetapi kalah sepertinya sudah dalam tangan.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/ghairah-cuba-bersuara-sejak-hilang-kuasa-tapi-mana-suara-najib-ketika-bekas-ceo-sapura-dibayar-rm983-juta/

Baca juga: https://themalaysialife.com/belum-sempat-jumpa-anak-ernie-anuar-zain-hanya-mampu-tatap-gambar-cucu-saudara/