Rafizi Ramli cadang gubal undang-undang kawal selia dana berbentuk ‘bailout’ di Parlimen secara rang undang-undang persendirian.
Menurutnya, fasal utama di dalam rang undang-undang tersebut boleh menyentuh beberapa perkara-perkara iaitu sebarang bentuk “bailout” perlulah dibuat menggunakan akta yang diluluskan di Parlimen.
“Contohnya, jika “bailout” itu melibatkan Syarikat Najib, maka satu akta bernama “Akta Pendanaan Awam Ambil Alih Syarikat Najib” perlu dibentangkan dan diluluskan,” cadang beliau.
Menurut Rafuizi, akta itu perlu menetapkan syarat-syarat yang jelas mengenai peranan, hukuman dan imbuhan kepada pemilik asal dan eksekutif kanan syarikat.
“Contohnya, akta boleh menetapkan bahawa eksekutif kanan syarikat tidak boleh mendapat kenaikan gaji atau bonus dalam tempoh tiga tahun, atau pemilik asal tidak layak mendapat dividen untuk tempoh tertentu.
“Sebarang “bailout” (jika terdesak dan tiada pilihan lain) seboleh-bolehnya melibatkan industri (yang perlu diselamatkan atau dipertahankan) bukannya syarikat tertentu,” kata beliau.
Bagi Rafizi, penggubalan akta seperti ini adalah perlu untuk mengekang amalan kroni kapitalisme (“crony capitalism”) yang telah lama berakar tunjang di negara ini sehinggakan setiap generasi terpaksa berdepan dengan siri “bailouts” tersendiri yang hutang dan kerugiannya ditanggung rakyat untuk beberapa generasi akan datang.
Rafizi berkata demikian dalam kenyataan terkininya berhubung gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kerajaan menggunakan wang rakyat seperti Petronas, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad.
“Pandangan saya ialah semua bentuk “bailout” yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak.
“Prinsip ini terpakai kepada semua syarikat korporat, tidak kiralah syarikat korporat itu milik kerajaan (“state-owned enterprise” atau SOEs), syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”), syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam (“public listed companies with substantial public fund’s ownership”), apatah lagi syarikat korporat biasa.
Katanya, pendekatan bailout adalah buruk kerana ia menggalakkan usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan dengan mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat yang berdaya saing dan kental menghadapi cabaran naik turun perniagaan.
“Ia sama dengan menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian. Semasa perniagaan untung, keuntungan diambil oleh pemilik tetapi apabila perniagaan rugi, kerugian dialihkan kepada orang ramai.
“Dana awam digunakan secara terpilih yang hanya menguntungkan segelintir golongan masyarakat sahaja sedangkan jumlah besar itu boleh dimanfaatkan kepada golongan yang lebih besar.
“Syarikat yang diambil alih selepas “bailout” selalunya mewarisi pelbagai masalah kewangan kronik (akibat dari keborosan pengurusan sebelumnya) yang tidak dapat diselamatkan walaupun ada suntikan dana awam. Masalah selalunya berulang yang memerlukan lebih banyak dana awam disuntik selepas itu,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun Rafizi tidak bersetuju dengan langkah Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang menyuntik dana kepada Sapura.
“Saya tidak ada pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
“Saya juga lantang mengkritik beberapa keputusan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dan langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan Sapura ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang saya tidak bersetuju.
“Tetapi saya konsisten dengan pendirian ini tidak kira pihak mana yang mengutarakannya, bukannya seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosialnya (“Admin FB”).
“Sedang dia mengkritik tindakan PH “bailout” Sapura dalam tahun 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang sama dalam tahun 2022,” katanya.
Baca juga: https://malaysiadateline.com/bersatu-ingatkan-umno-jangan-jadi-haruan-makan-anak/