Debat berani bersemuka antara Rafizi Ramli dengan Saifuddin Nasution Ismail sudah pun selesai. Majlis itu berjalan dengan penuh tertib. Kedua-dua pendebat menunjukkan sikap profesional.
Kalau pun majlis itu cacat apabila saudara moderator Amin Idris, telah terbaca mesej komentar di skrin yang berbau busuk. Sudut dan sisi lain lain berjalan lancar.
Saya rasa semua pihak berpuas hati khususnya penyokong kedua-dua tokoh berkenaan. Debat itu satu persembahan saksama. Apa yang dibentangkan oleh kedua-dua panel sepanjang perdebatan itu boleh direnung dan difikirkan kemudian dianyam untuk dijadikan asas pemilihan timbalan presiden Keadilan.
Saya tidak mahu mengulas panjang di sini, dan tidak bermaksud merit kepada mana-mana pihak kendatipun saya ada pengalaman peribadi dengan mereka berdua.
Yang saya nak sebut, asas untuk memilih kedua-duanya tentu bergantung kepada gagasan, janji dan idealisme yang dituangkan dalam wacana itu semalam.
Gagasan atau wawasan dan idealisme siapa yang lebih baik pasti menjadi latar utama untuk mengangkat mereka menjadi timbalan presiden Keadilan.
Jawatan itu bagi saya bukan sekadar untuk menjadi pembantu kepada Anwar Ibrahim selaku presiden, tetapi lebih jauh dan luas daripada itu.
Yang penting adalah timbalan yang mampu menjayakan dua maksud, mensejahtera dan memajukan parti kemudian memastikan Keadilan menang untuk meletakkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Perkiraan itu yang perlu diutamakan oleh para ahli Keadilan seluruhnya.
Saya hendak kunci ulasan berhubung perebutan jawatan itu di sini dengan merakam penegasan dan komitmen Saifuddin Nasution yang mana kalau beliau ditakdir tidak terpilih, beliau tidak akan lari dari parti dan tetap bersama bahtera perjuangan.
Walaupun Rafizi tidak membuat apa-apa ketegasan sebegitu, tetapi saya yakin beliau menerima penegasan Saifuddin itu sebagai peringatan kepadanya juga.
Saya bersetuju dengan kesimpulan dibuat oleh kedua-dua pemerhati politik yang menjadi penyoal, Dr Siva dan Mujibur yang memanggungkan kedua-dua tokoh itu.
Rafizi dan Saifuddin adalah aset dan tokoh idola generasi akan datang dalam Keadilan. Idealisme, hujah dan ketertiban mereka berdebat menggambarkan mereka berdua adalah sosok yang perlu dibanggakan oleh Keadilan.
Baca Sempena Debat Ketua AMK malam ini: Beri laluan kepada pemimpin muda dalam badan eksekutif parti