Pakai salah tak pakai pun salah. Cop SIRIM dijangka akan menyebabkan harga pelitup muka dijual dengan harga terlalu mahal di pasaran.
Susulan keputusan kerajaan yang mengumumkan penangguhan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan, banyak maklum balas yang dikongsikan netizen di sosial media.
Bagaimanapun pengumuman penangguhan itu tidak memberi reaksi positif dalam kalangan netizen yang beranggapan penetapan cop SIRIM sememangnya tidak wajar.
Malah menurut Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, keputusan kerajaan yang secara tiba-tiba mahu menguatkuasakan syarat cop SIRIM pada pelitup muka, disifatkan sebagai ‘business as usual’.
Beliau melihat syarat berkenaan akan menjadi alasan dan penyebab kepada kenaikan harga pelitup muka di pasaran.
“Ini sudah tentu menimbulkan sedikit kegusaran memandangkan pelitup muka pada ketika ini adalah keperluan harian bagi setiap individu.
“Saya sangat memahami bahawa antara tujuan lainnya inisiatif ini hendak dijalankan adalah sebagai langkah memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dikeluarkan oleh pengilang dan pembekal memenuhi standard dan kualiti sebagaimana yang sepatutnya.
“Namun, mengapa sekarang tatkala negara menuju endemik?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH Nasional menambah, tindakan kerajaan itu secara tidak langsung akan meningkatkan kos kepada pembekal dan yang terkesan ialah pembeli.
Ini kerana katanya, pembeli menanggung kos yang agak tinggi apabila harga siling dikenakan yang mana akan menjadi lagi satu bebanan buat rakyat.
Baca juga: ‘Buat apa tangguh, batal je terus’ – Netizen tak setuju kerajaan tangguh cop SIRIM pelitup muka?