Rakyat dah beri peluang selama 13 penggal, kali ini tolak parti yang bersubahat dengan Umno-BN

Oleh KIM SYAZIE

Berita atas talian TV3 pada 5 November memetik Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamid, sebagai berkata, BN sedia untuk melaksanakan apa sahaja kaedah yang matang, termasuk bergabung dengan parti lain bagi mewujudkan sebuah negara yang mempunyai kestabilan politik.

Alasan Presiden Umno itu adalah untuk mengelak rakyat jelata menjadi mangsa dan negara tidak mempunyai seorang perdana menteri yang kurang sepenggal.

Ini cakap seorang hipokrit yang dalam kerisauan takut masuk penjara. Siapa yang berkonspirasi dengan pengkhianat Pakatan Harapan menjatuhkan kerajaan pada tahun 2020 kalau bukan Umno (dan Pas)?

Siapakah yang menjatuhkan perdana menteri kerajaan khianat Mahiaddin Md Yasin pada 2021 kalau bukan anggota kluster mahkamah Umno?

Dan siapakah yang memaksa Perdana Menteri Umno, Ismail Sabri Yaakob, membubarkan Parlimen awal kalau bukan Ahmad Zahid asal Ponorogo dan konco-konconya.

Dulu, masa rakyat jelata pilih Umno-BN untuk mentadbir negara, pembesar-pembesar Umno-BN ambil kesempatan membuat kekayaan di atas belakang mereka.

Apabila rakyat jelata tolak Umno-BN dan mahu supaya dibicara dan dipenjarakan pembesar Umno-BN yang menipu, Ahmad Zahid kata negara tidak stabil.

Dia seolah-olah lupa yang bukan sepenggal rakyat jelata bagi peluang kepada Umno-BN tapi 13 penggal. Tengok apa yang pembesar-pembesar Umno-BN buat sejak sedekad dua ini?

Mana-mana parti politik, calon perdana menteri atau calon pilihan raya yang berkata mereka sanggup menyahut godaan Ahmad Zahid itu wajib kita tolak bulat-bulat.

Cukuplah kita ditipu oleh pembesar-pembesar Umno-BN yang membebankan kita dengan berpuluh bilion hutang serta kerugian 1MDB, SRC International, KWAP, Pembinaan PFI Sdn Bhd, Tabung Haji, Felda, Felcra dan banyak lagi.

Pilihan raya ini bukan untuk menyelamatkan kluster mahkamah Umno-BN dan konspirator “Sheraton Move” atau untuk memenuhi ego dan cita-cita besar sesiapa.

Pilihan raya ini adalah untuk terus membersihkan negara kita daripada najis rasuah, melindungi rakyat jelata daripada badai ekonomi dunia yang sedang melanda, menebus maruah negara dan mengembalikan keyakinan antarabangsa.

Baca juga: ‘Pakai but anda, kanak-kanak’ – Jururawat potong kaki pesakit nazak sebelum pamer di kedai antik untuk pengajaran

Baca juga: CUEPACS gesa beri rakyat cuti umum khas sehari sebelum hari pengundian