Insiden seorang petugas barisan hadapan terjatuh sehingga usungan yang membawa pesakit terbalik pada minggu lalu antara pengorbanan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.
Koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, kejadian yang disaksikannya sendiri itu adalah gambaran suasana kritikal di pusat itu sejak mula beroperasi enam bulan lalu.
“Rakyat bawahan dan petugas-petugas profesional tidak kisah untuk berkorban masa, tenaga dan kewangan mereka untuk membantu mengekang penularan Covid-19 ini.
“Mereka tiada pilihan. Mereka semua mahukan masa depan terbaik untuk ummah dan negara,” katanya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Sayuti menegaskan hakikat rakyat dan barisan hadapan sebenarnya adalah mangsa kebobrokan pemimpin atasan yang zalim dan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab daripada rompakan kuasa yang mereka lakukan.
“Kejadian bawah terik di bulan penuh pengorbanan ini, adalah manisfestasi betapa kesungguhan para barisan hadapan ini adalah setinggi amal mulia untuk dipertaruhkan pada-Mu ya Allah,” katanya lagi.
Untuk rekod, di CAC, pesakit Covid-19 akan ditentukan sama ada ditempatkan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau dibenarkan pulang menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau (HSO) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Minggu lalu, tular rakaman video pendek yang memaparkan tiga petugas barisan hadapan lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) mengejarkan seorang pesakit ke ruang kecemasan untuk mendapatkan rawatan.
Walau bagaimanapun, usungan yang sedang ditolak dengan pantas itu kemudiannya terbalik apabila salah seorang petugasnya terjatuh.
Petugas berkenaan yang kakinya turut dihempap usungan itu kemudiannya dibantu manakala pesakit terbabit segera dikejarkan ke tempat rawatan.
Pada 12 Julai lalu, difahamkan kira-kira 4,000 pesakit Covid-19 hadir di CAC Stadium Malawati sekali gus dikatakan rekod harian kehadiran tertinggi di CAC tersebut.
Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam reaksinya berkata, kesesakan di dua CAC di Selangor yang tular itu tidak menggambarkan situasi sebenar dialami di lokasi berkenaan setiap hari.
Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 927,533 kes positif Covid-19 dengan Lembah Klang terutama Selangor paling teruk terjejas.
Sebanyak 326,823 kes Covid-19 direkodkan di Selangor dengan jumlah kematian tertinggi berbanding negeri lain tetapi hanya 30.4 peratus populasi penduduk di negeri itu setakat kelmarin menerima suntikan vaksin dos pertama.