Malaysia Dateline

Rakyat tidak perlu tunggu 5 tahun untuk lihat perubahan – Zahid

Kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diragui dalam memacu pemulihan ekonomi dalam negara dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata beliau yakin penuh dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk menerajui kekuatan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rakyat tidak perlu menunggu lama untuk melihat perubahan ke arah yang lebih baik di bawah pentadbiran PM Anwar.

“InshaAllah, tidak perlu tunggu lima tahun. Saya yakin dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau adalah seorang idealis politik yang saya kenali yang kita sama-sama kenali.

“Idealisme inilah yang mahu diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan kepada ‘the game changer’ kepada perubahan-perubahan yang mahu diperkenalkan,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan secara atas talian, malam tadi.

Zahid berkata pelbagai pengumuman yang disertai dengan tindakan oleh Anwar Ibrahim boleh dilihat oleh rakyat sendiri dalam tempoh kurang 30 hari beliau mentadbir kerajaan.

Tambahnya, Anwar juga tidak perlu menunggu sehingga 100 hari pentadbiran untuk dilihat perubahan dan dinilai sebagai penanda aras menunjukkan prestasi Kerajaan Perpaduan yang telah dipimpin beliau.

Menyentuh kebersamaan parti parti Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan, Zahid Hamidi berkata komponen parti Kerajaan perlu bergerak ke hadapan dan bekerja secara sepasukan melalui penyatuan pemikiran, hati nurani serta tindakan.

Beliau juga berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah bersetuju untuk mencari titik persamaan bagi kesemua manifesto komponan dalam Kerajaan Perpaduan supaya kerjasama antara mereka dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, katanya ditugaskan untuk menubuhkan jawatankuasa kerajaan bagi menyaring setiap manifesto parti komponen dan memilih agenda yang akan diguna pakai oleh Kerajaan Perpaduan.

BACA JUGA MOU kerajaan perpaduan sebenarnya tambah tekanan kepada pembangkang