Sejak malam tadi tular satu video memaparkan beberapa pemain skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan mereka di sebuah pusat kelab malam selepas berjaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Menerusi video berdurasi lapan saat itu, kelihatan pemain Junior Eldstal, La’Vere Corbin-Ong, Dominic Tan dan Darren Lok berada di kelab malam tersebut sambil dilayan pelayan menuangkan minuman keras.
Difahamkan video tular itu mengundang kritikan orang ramai kerana terlihat pemain kebangsaan beragama Islam turut berada di lokasi berkenaan.
Ekoran penularan video terbabit, portal Harimau Malaya berjaya mendapatkan penjelasan daripada salah seorang pemain iaitu Junior yang menjelaskan bahawa ini adalah salah faham.
“Saya tahu ramai salah faham dengan video tersebut terutama di sini (Malaysia) yang boleh memperlihatkan tidak baik. Saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut mengenai video itu, tetapi terdapat pemain-pemain bukan muslim bersama.
“Apabila sesuatu yang berlaku seperti ini iaitu berjauhan dengan keluarga dan rakan selama sebulan dan kemudian berjaya mengecapi kejayaan, ia satu momen yang cukup bahagia untuk kami keluar dan meraikannya,” katanya.
Baca juga: Bekas menteri kewangan respon prestasi Malaysia jatuh dalam Ranking Daya Saing Dunia 2022