Ramainya ‘anak’ Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi telah lama diakui tokoh ulama Almarhum Shaykh ‘Abd al-Fattāh Abū Ghuddah (1917 – 1997).
Menerusi tulisan yang diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran Syeikh Yusuf yang ke-70, Shaykh ‘Abd al-Fattāh memberitahu terdapat lebih 70 karya penulisan pemimpin Ikhwanul Muslimin itu.
“Demikian itu merupakan kemuliaan Allāh yang dikurniakan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
“Imam Ibn al-Jawzī rahimahullāh berkata, “Kitab seorang alim itu ialah anaknya yang kekal selamanya.”
“Betapa ramainya ‘anak-anak’ shaykh ini, orang-orang yang mengasihinya, yang mengambil manfaat daripada (ilmu)nya!” tulis Shaykh ‘Abd al-Fattāh.
Rekod terbaharu menunjukkan jumlah ‘anak’ atau buku dikarang Syeikh Yusuf sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 26 September bersamaan 29 Safar lalu sudah mencecah lebih 120 buah.
Karya tokoh yang mempunyai rancangan bual bicara popular di rangkaian Al-Jazeera Qatar dengan antara 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia itu merangkumi bidang keilmuan Islam terutama sosial, dakwah dan pengajian Islam.
Mengulas lanjut karya-karya Syeikh Yusuf yang diulang cetak berpuluh kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa itu, Shaykh ‘Abd al-Fattāh menyifatkan pencapaian tersebut sebagai ganjaran kebaikan.
“Ini merupakan daripada kebaikan-kebaikannya yang kekal berpahala – inshāAllāh Ta‘ālā. Betapa banyaknya kebaikan beliau dan betapa luasnya jenis amal kebajikannya?!
“Semoga Allāh menerima amal baiknya, dan mengurniakannya keluasan ilmu dan memberi manfaat kepada umat Islam, sesungguhnya Dialah sebaik-baik pengurnia,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan Syeikh Yusuf sebagai berhikmah dalam urusan amar makruf nahi mungkar dengan dikurniakan oleh Allah “pena yang mengalir laju, minda yang hadir dan pintar, ilmu yang ‘hidup’ dan banyak, keikhlasan yang mampu disaksikan kesannya”.
Tulisan lengkap Shaykh ‘Abd al-Fattāh dalam bukunya berjudul, ‘Faqīhunā wa Murshidunā al-‘Allāmah Yūsuf al-Qaradāwī’ itu diterjemahkan oleh Mohammad Syafiq Ismail dengan tajuk, ‘Faqīh dan Murshid Kami: al-‘Allāmah Yūsuf al-Qaradāwī.’
Terjemahan yang diterbitkan pihak Abim Press ini, menurut Syafiq, boleh disebarkan secara percuma di atas talian.
“Tiada hakcipta yang kita tuntut di balik terbitan ini, ia bebas diulangcetak dan disebarkan oleh sesiapa saja, dan digunakan dalam kajian-kajian,” katanya lagi.
Karya istimewa dari pena ulama berkenaan boleh dibaca dan dimuatturun melalui pautan ini.
Baca juga Mahu ‘kekal muda’, ini enam tips daripada suri hati tokoh pemimpin yang boleh dicontohi