Tidak semangat keluar kerja? Ini 12 peribahasa Melayu jati lagi ‘rare’ pembangkit motivasi

Oleh ARIF ATAN

Tiba rasa tidak bersemangat untuk keluar bekerja, kata-kata motivasi termasuk bahasa Inggeris yang lazim didengar pun sudah tidak berbekas di jiwa.

Peribahasa “Genggam bara api biar jadi arang” contohnya, mungkin biasa didengar sejak di bangku sekolah.

Apa kata telaah koleksi peribahasa Melayu jati dalam buku “Tikaman Bahasa” susunan Muhammad Adnan Muhammad Ariffin terbitan kali pertama tahun 1934 di Kota Bharu, Kelantan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya menerbitkannya semula pada 1992 tanpa mengubah kandungan dan gaya bahasa yang digunakan.

Menariknya, himpunan peribahasa susunan bekas Guru Besar Sekolah Inggeris al-Madrasah al-Muhammadiah itu dianggap mengumpulkan peribahasa asli Melayu sebagai tindak balas kepada penerbitan “Kiliran Budi” susunan W.G. Shellabear (1907).

Malah, Cikgu Adnan dalam bahagian “Pengenalan Pengecap” berkata perumpamaan atau bidalan yang terhimpun dalam bukunya itu “ialah yang terlebih sah dan fasih susunan Melayu jati”.

Terdapat 2,249 peribahasa kesemuanya yang dipecahkan kepada 11 bab. Banyak peribahasa itu sudah jarang atau mungkin tidak pernah lagi generasi sekarang dengar.

Himpunan peribahasa ini mungkin boleh jadi pembangkit motivasi untuk terus rajin bekerja selain dalam masa sama bukti bangsa Melayu bukannya malas seperti yang ditohmah dalam wacana orientalis.

Berikut 12 peribahasa dalam bab ketiga buku berusia lebih 80 tahun ini di bawah tajuk, “Mencari Kehidupan, Kekayaan dan Kepapaan”:

1. Menyokong padi hendak rebah
Menolong seseorang yang lemah yang akan membalas budi kemudian hari, atau pun yang memberi faedah.

2. Bahu memikul hati menyokong
Bekerja dengan hati yang suka

3. Berhanyut ke hilir mengepit kemudi sahajalah
Menyerahkan sesuatu pekerjaan kepada orang yang rajin dan pandai, tiadalah payah sangat kita menjaganya atau mengerahnya.

4. Ringan tulang berat perut
Rajin bekerja dapatlah rezeki

5. Hempas tulang berisi perut
Penat bekerja dapat makan.

6. Jangan digenggam seperti bara, rasa hangat dilepaskan
Sia-sia memperbuat sesuatu pekerjaan sebelum sudahnya terasa susah atau penat, berhenti.

7. Hendak pergi berotan, jangan takutkan onaknya
Tiap-tiap pekerjaan yang besar atau berharga itu adalah sedikit sebanyak susahnya yang kita mesti rasai.

8. Tiga sudah berdiri habis
Memadailah dalam sesuatu perbuatan itu dengan tiga perbandingan iaitu ilmu, akal dan mahir.

9. Baik berjagung-jagung sementara padi masak
Sementara menanti pekerjaan yang besar-besar baiklah berbuat pekerjaan yang kecil-kecil dahulu.

10. Tak boleh dibaiki jangan dipecahkan
Sesuatu perbuatan orang yang kita tiada ketahui rahsianya janganlah kita cela.

11. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang
Jikalau segan bekerja atau perbuat sesuatu yang wajib itu tiadalah diharapkan hasil maksud kita itu.

12. Ke mana gunung disesar hilang kabus tampak juga
Sesuatu pekerjaan atau perkara yang telah tentu itu usahlah digopohkan sangat, hendaklah sabar mengerjakannya.

Baca juga Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi

Baca juga Pengantin lelaki gugup sampai tersasul mas kahwin RM500 juta