Realiti gaji jururawat di Malaysia cuma RM1.5k, bila kerja di Singapura dibayar lebih RM7,000 setaraf doktor pakar

Oleh KIM SYAZIE

Mata wang Singapura yang lebih kukuh berbanding Ringgit Malaysia menjadikan rakyat di negara ini lebih memilih untuk mencari kerja di republik berkenaan disebabkan tawaran gaji lebih lumayan yang kadangkala boleh mencecah lebih lima kali ganda berbanding di Malaysia.

Difahamkan, lebih separuh golongan pekerja dari Malaysia berkhidmat dalam bidang profesional di Singapura dan 80 peratus yang lain bekerja dalam sektor perkhidmatan, lapor Channel News Asia.

Seperti perkongsian seorang jururawat, dia yang dahulunya dibayar sekitar RM1,500 ketika mendapatkan latihan di sebuah pusat perubatan di Melaka, kini dibayar lebih lima kali ganda apabila bekerja di Singapura.

Jururawat tersebut, Jamunah Arumugham, 35, berkata, di Singapura dia dibayar gaji sekitar 2,500 dolar Singapura yang bersamaan dengan RM7,927 sebulan.

Pada mulanya, dia hanya ke negara sempadan bagi menimba pengalaman kerja, namun disebabkan peningkatan imbuhan yang diterima membolehkan dia menyelesaikan pinjaman pelajaran serta meringankan beban kewangan keluarga.

Dia yang menetap di Johor Bahru dan berulang alik ke Singapura itu memberitahu sukar untuk dia bekerja semula di Malaysia ekoran komitmen kewangan dan pinjaman rumah serta kereta.

“Saya mempunyai banyak komitmen kewangan pada masa ini seperti pinjaman rumah, kereta dan menyara keluarga. Amat sukar untuk saya berhenti kerja dan pulang bekerja di Malaysia,” katanya seperti di lapor CNA.

Selain itu, seorang pegawai saintifik di Sekolah Perubatan DUKE-NUS, Dr. Khoo Yong Khean, 39, turut meluahkan hal yang sama apabila dia sangup meninggalkan perkhidmatan awam di Malaysia pada tahun dan memilih bekerja di Singapura.

Beliau merasakan peluang kenaikan pangkat di Malaysia ‘amat terhad’ berbanding Singapura di mana kemahiran menjadi asas penting penilaian, sekali gus membolehkannya mencapai potensi sebenar.

“Kerjaya sebagai doktor di Malaysia dikongkong oleh penstrukturan jawatan berbanding Singapura yang menawarkan peluang untuk melakukan pengkhususan dan penyelidikan.

“Namun, saya akui gaji yang ditawarkan di Singapura adalah faktor tarikan utama mempengaruhi keputusan, lebih-lebih lagi nilai mata wang dolar Singapura lebih kukuh berbanding ringgit.

“Singapura adalah hab penjagaan kesihatan utama di rantau ini. Ia berkait rapat dan mudah menyesuaikan diri dari aspek budaya serta dekat dengan rumah,” katanya.

Baca juga: Tiap bulan dapat bantuan miskin tegar JKM dan dikategori asnaf, tapi perangai kaki judi

Baca juga: Ibu bapa terpaksa belanja lebih lepas sekolah larang pakaian seragam tidak berjenama

Baca juga: Influencer kahwin dengan anak tiri yang dijaga sejak umur 7 tahun, bakal timang anak kedua