Malaysia Dateline

Rider Air Asia bakal diserap jadi pekerja sepenuh masa, gaji sehingga RM3,000 sebulan

Semua penghantar makanan di bawah airasia food dan airasia xpress, akan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa berkuatkuasa serta merta hari ini.

Dengan pengumuman itu, platform airasia Super App muncul sebagai syarikat pertama di Asia yang menawarkan pekerjaan sepenuh masa untuk ‘rider’ gig.

Ini merupakan sebahagian daripada komitmennya memberikan persekitaran kerja yang lebih baik dan kestabilan pekerjaan, di samping meningkatkan peluang pendapatan.

Rider juga akan memperoleh pendapatan terjamin sehingga RM 3,000 sebulan, latihan eksklusif penunggang AirAsia serta perlindungan kemalangan peribadi percuma.

Selain itu, mereka akan menikmati rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), perlindungan perubatan yang turut boleh dimanfaatkan oleh pasangan dan anak-anak, cuti tahunan, selain faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 dan e-kupon.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes,berkata, penunggang juga layak memperoleh insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka.

“Ini terpakai di semua unit perniagaan Capital A, termasuklah airasia Super App. Sama seperti pengendali bagasi, krew kabin dan juruterbang yang menjadi tulang belakang perniagaan penerbangan kami, pekerja gig adalah wira dalam operasi penghantaran kami.

“Kami tidak percaya pada kakitangan kontrak dan kini akan bergerak ke arah menggaji semua penunggang sebagai pekerja sepenuh masa, menerima faedah yang sama yang diterima oleh setiap Allstar, di samping faedah terbaik daripada airasia food & airasia xpress,” katanya dalam satu majlis hari ini.

Tony berkata, AirAsia selama bertahun-tahun telah mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, dengan pengembangan sebagai sebuah platform aplikasi super, AirAsia juga bergantung kepada perkhidmatan penting pekerja gig untuk perkhidmatan gaya hidup seperti penghantaran makanan dan bungkusan.

Baca juga: “Alaa…hantar ni pun caj RM3?”-Pemuda ini cerita kenapa caj penghantaran tak patut dianggap mahal, banyak risiko mereka hadap