Malaysia Dateline

“Alaa…hantar ni pun caj RM3?”-Pemuda ini cerita kenapa caj penghantaran tak patut dianggap mahal, banyak risiko mereka hadap

Perkhidmatan penghantaran makanan terus menjadi pilihan ramai ketika ini. Tetapi untuk menikmati perkhidmatan tersebut, penjual kebiasaannya mengenakan caj penghantaran sampai ke pintu rumah yang selalunya ditetapkan antara RM0.50 hingga melebihi RM10 seperti yang ditetapkan penjual.

Bagaimanapun isu berkenaan caj penghantaran ini banyak menimbulkan isu dalam kalangan pelanggan yang kadangkala tidak berpuas hati dengan bayaran yang dikenakan. Seringkali mereka menganggap penghantaran adalah percuma.

Tetapi seperti perkongsian seorang pemuda yang bernama Haikal Jazlan di Facebook miliknya, dia berkongsi kepada orang ramai kenapa caj penghantaran yang ditetapkan penjual, tidak seharusnya dianggap mahal.

Dia berkongsikan satu gambar memaparkan sebuah motosikal yang berkecai dipercayai ketika penunggang sedang dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.

Gambar itu sahaja menceritakan banyak hal. Pemuda tersebut berkata, tidak semua orang sanggup menghantar makanan sampai ke pintu rumah apatah lagi jika upah COD pun cumalah semurah RM3.

“Kepada siapa-siapa yang selalu kecam pasai upah Cash On Delivery (COD) mahal walau RM3. Mai aku nak cerita. Alaa COD ayam je pun takkan nak caj sampai 3ringgit? Haa ni hampa refer gambaq bawah ni. Berlaku pada adik aku sendiri.

“Pada pendapat aku sendiri dah cukup baguih dah orang hantaq sampai depan rumah. Tak semua orang willing nak buat kerja yang macam ni ya. Jadi kalau setakat RM3 ringgit untuk COD tu pejam mata ja lah. Kerja macam ni terdedah dengan risiko. Hujan ka panas ka tetap redah juga.

“RM3 tu ringgit tu habuan duit minyak dan life insurance juga. Renung-renungkan lah ya. Alhamdulillah tak dak cedera serius. Luka-luka dan terseliuh sahaja,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai turut bersetuju dengan apa yang diperkatakan kerana menurut mereka risiko dihadapi penghantar makanan amat besar.

Mereka juga berkongsi cerita selalu memberikan tips lebih kepada penghantar makanan yang menghantar makanan mereka walaupun dalam keadaan hujan.

Sumber gambar Haikal Jazlan

Baca juga: Baik hati bagi kawan guna slip gaji beli telefon baru, wanita buntu asyik dikejar bank minta hutang

Baca juga: Orang ramai pertikai kerajaan guna berbilion bina MRT 3, tapi tak mampu selesai masalah kurang doktor dan katil hospital

Baca juga: ‘Bila berjaya, dia tidak berlumba pamer kereta dan hidup mewah’, pempengaruh seperti Khairul Aming wajar dijadikan contoh