Rina boleh tersenyum bila cacian dilemparkan terhadap wanita-Hannah minta Rina digugurkan

Oleh NASUHA RAHMAN

Tindakan Menteri pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang boleh berdiri dan tersenyum apabila cacian dilemparkan terhadap wanita satu perbuatan yang memperlekehkan peranan wanita.

Dalam video promosi berdurasi 40 saat, pelakon Rosyam Nor kedengaran berkata wanita lambat dan harus bangun apabila mempromosikan acara untuk kementerian.

Rosyam menggunakan kata-kata wanita “bangun lambat”, perempuan ni semuanya lambat”, “eh bangkitlah”, “bangun daripada tidur” dan “aku nak belasah kepala korang” disifatkan begitu menghina kaum wanita.

Yang paling teruk menurut Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh apabila Rina dan pegawai Yayasan Kebajikan Negara hanya berdiri dan tersengih-sengih semasa kata-kata itu digunakan di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM.

“Tahukah Rina ramai kaum ibu tidur lewat dan bangun sebelum subuh untuk membuat persiapan bagi keluarga mereka?

“Kaum wanita kerap menjadi mangsa stereotaip dan mangsa keganasan rumahtangga,” katanya dalam kenyataan.

Hannah Yeoh berkata ini bukan kali pertama Rina menggunakan publisiti murahan yang memalukan kementerian.

Seterusnya Hannah mempersoalkan bagaimana skrip yang mempersendakan wanita diluluskan oleh Rina atau kementerian.

“Jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serius dengan Keluarga Malaysia, beliau patut memecat menteri yang memperlekehkan wanita.”

Ahli Parlimen Segambut itu juga berkata Rina tidak dibayar oleh pembayar cukai untuk bekerja sebagai penganjur acara.

“Kementerian menjadi bahan jenaka sejak tiga tahun lalu. Saya sedih melihat kakitangan, agensi di bawah kementerian serta kumpulan sasarnya dipergunakan seperti ini.”

Katanya, sudah tiba masanya untuk Rina dan timbalannya bangun selepas lebih tiga tahun tempoh percubaan.

Baca juga: Bawa kain rentang ‘Umrah untuk roh Ratu Elizabeth II’ di Masjidil Haram, lelaki Yaman ditahan

Baca juga: Pakai baju sama dikatakan bercinta, Shuib dikaitkan dengan wanita lain pula