Perasaan risau terperangkap dalam banjir mungkin dapat dikurangkan dengan memanfaatkan tiga laman media sosial rasmi ini.
Pilihan raya ketika musim banjir yang dibimbangi sebahagian besar rakyat dilihat tidak dapat lagi dielak susulan pembubaran Parlimen.
Ini tiga laman berguna patut kerap dilihat sebagai ikhtiar meminimumkan impak banjir terhadap keselamatan diri dan harta benda:
1. Public Infobanjir
Sistem pangkalan data berpusat Infobanjir berfungsi menghimpunkan maklumat hujan dan aras air secara real-time daripada hampir 200 stesen hidrologi di seluruh negara.
Data hidrologi daripada setiap stesen cerapan ini membantu masyarakat terutama mangsa banjir dan agensi penyelamat untuk bertindak awal bagi menghadapi bencana banjir.
Laman Public Infobanjir juga memuatkan maklumat ramalan banjir dua hari sebelum berlaku banjir di lokasi terpilih berserta peta lokasi dan senarai kawasan yang dijangka akan banjir.
2. Facebook SMART Tunnel
Di Kuala Lumpur, banjir kilat yang berlaku disebabkan hujan lebat berpanjangan melebihi tiga jam akibat sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung air larian permukaan yang banyak.
Laman ini membantu pengguna jalan raya sekitar Lembah Klang berkenaan operasi Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) sepanjang 9.7 kilometer.
Terowong yang juga lebuh raya lintasan Kuala Lumpur ini yang beroperasi pada 2007 berperanan melencongkan jutaan meter padu air daripada hujan lebat ke kolam takungan lain.
Terdapat tiga tahap atau mod operasi Terowong Smart dengan Mod 3 bermaksud terowong trafik ditutup dan dikosongkan daripada kenderaan manakala Mod 4 air banjir dialirkan ke laluan trafik.
3. Facebook MetMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman rasmi media sosial itu pada masa sekarang mempunyai kira-kira 675,000 pengikut.
Hebahan cuaca terutama berkenaan amaran hujan lebat dan ribut petir akan dimuat naik dari semasa ke semasa lengkap berserta peta kawasan terlibat.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan awal di laman ini mengikut analisis keadaan cuaca semasa dengan ramalan terkini serta amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh MET Malaysia turut dipaparkan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, http://www.met.gov.my.
Baca juga Malaysia rugi RM13 bilion setahun – 18.4 juta penduduk hidap diabetes, hipertensi, kolesterol