Tiga hal sedang serentak ‘meletup’ di Twitter iaitu ‘Roshana Takim’, ‘UiTM’ dan ‘Prof’ dengan mencatatkan lebih 15,000 hingga 194,000 ciapan setakat jam 3.15 petang tadi.
Ketiga-tiga entiti itu berkaitan dengan tularnya rakaman video pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Ts Roshana Takim yang mengherdik pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba.
Lebih mengundang kecaman orang ramai apabila pensyarah veteran yang menggunakan kata ganti diri “aku” dan “kau” ketika sesi kelas atas talian itu memperlekeh pelajar B40.
“Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40 ya! Dia lebih memikirkan pasal lain dari pembelajaran,” tegasnya.
Menerusi rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat itu, Roshana juga antara lain menyarankan supaya kakak kepada pelajar dari Seremban tersebut menjual gelang emas untuk membeli komputer riba untuknya.
Dalam hal berkaitan, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor hari ini dilapor berkata, pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak berkenaan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).
Menurut Dr Roziah lagi, insiden terbabit berlaku pada semester lalu.