Malaysia Dateline

Rosmah bersalah minta rasuah, terima suapan projek solar hibrid! Ini kronologi kes rasuah jutaan ringgit isteri Najib

Sehari selepas rakyat Malaysia gembira meraikan sambutan Hari Kebangsaan, Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua tiga tuduhan.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang dipenjarakan, didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Berikut kronologi kes rasuah solar Rosmah:

15 November 2018 – Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak

15 November 2018 – Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah membabitkan projek itu

15 Mac 2019 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi membabitkan dua tuduhan rasuah dihadapi Rosmah

10 April 2019 – Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima suapan RM5 juta membabitkan projek sama

28 Jun 2019 – Tuduhan menerima suapan RM5 juta turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

5 Februari 2020 – Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi bermula

8 Januari 2020 – Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Rizal

11 Disember 2020 – Selepas mendengar keterangan 23 saksi, pihak pendakwaan menutup kes Hakim menetapkan 10 Februari 2021 bagi mendengar hujahan

10 Februari 2021 – Mahkamah mendengar hujahan kes Hakim menetapkan 18 Februari bagi keputusan selepas mendengar hujahan lisan pendakwaan dan pembelaan

18 Februari 2021 – Mahkamah memerintahkan Rosmah membela diri

5 Oktober 2021 – Rosmah mula memberikan keterangan membela diri

23 Februari 2022 – Pembelaan menutup kes

12 Mei 2022 – Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai bagi keputusan

1 Julai 2022 – Keputusan kes dijadualkan semula pada 1 September

26 Ogos 2022 – Tular dokumen yang didakwa kertas penghakiman kes itu

1 September 2022 – Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta

Baca juga Najib malam ini di penjara tapi orang ramai riuh pula ‘usik’ Presiden Umno

Baca juga Jangan halang anak muda ke konsert, tapi sediakan lebih banyak pilihan konsert yang bawa nilai positif