Rugi jadi ‘orang KL’ kalau tak pernah jejak dua taman rekreasi ini

Oleh ARIF ATAN

Rugi sebenarnya jadi ‘orang KL’ kalau tidak pernah menjejakkan kaki di Taman Tasik Permaisuri Cheras dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Di Taman Tasik Permaisuri, anda akan disambut landskap yang bercirikan Taman Diraja Melayu Tradisi dan Laman Iskandar Puteri.

Jiwa juga pasti tenang apabila menyaksikan seni taman di Kolam Sireh Junjung dan Laman Bunga-bungaan Awan Larat.

Taman permainan kanak-kanak, danau ekologi dan serambi dayang juga bila-bila masa sahaja mesra menyambut kunjungan anda sekeluarga.

Soal keselamatan dan keselesaan jangan risau. Sistem pencahayaan sudah ada selain pemasangan cctv.

Taman Tasik Permaisuri ini juga strategik kedudukannya iaitu dekat dengan stadium, hospital, pusat belia, masjid, perumahan awam dan swasta, kompleks agensi kerajaan, sekolah dan lain-lain.

Bagi penduduk yang tinggal di sekitar utara KL pula, pasti tidak cukup syarat jika tidak pernah beriadah di Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Taman rekreasi terbesar di ibu negara ini berkeluasan 218.8 ekar dengan menyajikan anda landskap menghijau, kelengkapan riadah dan kawasan lapang selain tasik yang luas.

Selain laluan berbasikal, berjogging dan berjalan, peralatan senaman serta permainan kanak-kanak juga disediakan.

Lebih menarik, pengunjung disediakan kemudahan lain seperti rumah sampan dan jeti untuk aktiviti air.

‘Kaki gambar’ pula tidak perlu risau kerana ada tiga menara tinjau untuk pengunjung menghayati dan meninjau secara keseluruhan keindahan taman.

Selain itu, satu kawasan pentas terbuka amphitheatre turut disediakan untuk pengunjung melakukan pelbagai aktiviti terbuka khususnya bagi penganjuran program dan persembahan.

Mulai dibuka jam 6 pagi, pengunjung perlu meninggalkan kawasan tasik ini jam 7 malam setiap hari.

Baca juga Tak perlu ke belantara nun di Banjaran Titiwangsa, tengah KL pun ada hutan wajib datang