Malaysia Dateline

Rukun Negara: Sany Hamzan ceramah dalam Dewan Negeri Selangor

Kerajaan Negeri Selangor diminta menyambut seruan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu untuk menyemarakkan Rukun Negara di mana-mana sahaja khasnya di sekolah di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri kawasan Taman Templer, Mohd Sany Hamzan ketika berucap dalam Dewan Negeri Selangor petang semalam berkata, Selangor perlu menterjemahkan titah itu segera dengan memenuhkan negeri itu dengan Rukun Negara.

“Saya setuju sangat kalau Rukun Negara ini kita nak tengok di mana Exco, dekat sekolah.

“Lepas ini kita kena tulis dekat simpang-simpang, billboard-billboard, kita kena ada kursus, kita kena bercakap, kita kena adakan taklimat mengenai Rukun Negara,” kata Sany yang baru memenangi kerusi Parlimen Hulu Langat dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Sany menggesa kerajaan negeri Selangor laksana segera titah Yang Dipertuan Agong berkaitan dengan Rukun Negara.

Sambil membacakan kandungan Rukun Negara itu, Sany berkata, “Kalau ini berjaya diterjemahkan, negara ini akan menjadi negara yang harmoni.

“Negara ini akan menjadi negara yang baik dan tidak akan ada lagi soal perpecahan berkaitan kaum dan agama.

“Kita minta negeri Selangor menjadi tunggak untuk menyemarakkan Rukun Negara,” kata Sany yang menyampaikan ucapan itu seolah-olah berceramah dalam Dewan Negeri sehingga ditegur oleh Speaker.

Selepas Mesyuarat Majlis Raja-raja baru-baru ini, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh baginda yang antara lain menggesa “Menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan hidup Rakyat Malaysia.”

Ekoran pilihan raya umum baru-baru ini, kempen perkauman dan pelampau agama telah menjadi isu besar dalam negara sehinggalah hubungan antara kaum dan agama menjadi tegang.

Ia masih berterusan walaupun pilihan raya telah selesai apabila pihak yang menjuarai kempen itu gagal membentuk kerajaan.

BACA JUGA Nazar nak kahwin tahun ini juga jika Anwar jadi PM10, wanita ini jadi sorotan

JUGA ‘Ohh rupanya dekat Sea of Galilee pada 2019, kecohlah mamat ni buat fitnah’

DAN JUGA Tuduh Anwar ejen Israel, Bukit Aman buka kertas siasatan terhadap Hadi