Malaysia Dateline

Rupanya Fun Fair Puncak Alam tiada kebenaran operasi, banyak kali lesen ditolak

Susulan tragedi Fun Fair di Puncak Alam, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan aktiviti hiburan pesta ria di situ, tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati tidak lengkap.

Menurut beliau, penganjur sepatutnya mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 45 hari kepada Jabatan Perlesenan MPKS bagi mendapatkan ulasan daripada jabatan teknikal lain seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak polis.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada ulasan dan sokongan diterima dan mereka beroperasi tanpa kebenaran,” katanya dalam sidang media sejurus melawat di tapak pesta ria itu.

“Oleh kerana kawasan ini tidak diserahkan lagi kepada MPKS, ia masih lagi di bawah pemilik tanah (pemaju) dan mereka beri kebenaran kepada penganjur untuk (pesta ria) beroperasi,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Peruntukan 6 (1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan 1995.

“Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan dan pesta ria turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” katanya lagi.

Media melaporkan, tiga daripada mangsa terjatuh daripada permainan dikenali sebagai sebagai ‘Sotong Ride’ dalam kejadian malam tadi.

Baca juga: ‘Protes Gelombang Hitam’, plot terbaru Mahiaddin, Hadi Awang untuk guling Kerajaan Perpaduan

Baca Juga: Hannah sumbang RM29,000, beli van jenazah Masjid Al-Imam Al-Ghazali