Malaysia Dateline

‘Rupanya ‘website’ entah apa-apa’- Fahmi bidas dakwaan Hamzah berkaitan laporan media antarabangsa

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memetik sebuah portal berita luar negara lalu menulis artikel berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipersoalkan salah seorang jemaah menteri.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, laman sesawang daripada Itali itu dilihat tiada dalam senarai ‘berita paling dibaca rakyat Itali’.

“Agenzia Nova (dari Itali) yang Hamzah Zainuddin petik ni website (laman sesawang) apa? Ada kredibiliti ke?

“Reuters Institute for The Study of Journalism ada kumpul semua website berita paling dibaca rakyat Itali.

“Guess what? Agenzia Nova langsung tak ada dalam senarai ini!,” bidas Fahmi menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Tambah Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, beliau beranggapan laman sesawang yang dipetik Hamzah itu setaraf dengan agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), British Broadcasting Corporation (BBC) dan juga New York Times.

“Rupanya website entah apa-apa! Nama wartawan yang tulis ‘artikel’ pun tak ada. Jangan nak cuba scam, Hamzah!,” tempelaknya lagi.

Di Dewan Rakyat semalam, Hamzah berkata Perdana Menteri perlu mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan tersebut.

Hamzah mendakwa, selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas sebuah agensi berita Itali telah menerbitkan artikel bertajuk ‘First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country’.

“Tindakan tegas harus diambil. Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Tambun (Anwar) sudah pun diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Baca juga: Kestabilan Kerajaan Perpaduan penting tarik keyakinan pelabur