Rupiah lebih bagus daripada ringgit, bersediakah Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi?

Oleh ARIF ATAN

Kejatuhan nilai mata wang Indonesia dikatakan lebih baik berbanding mata wang negara lain termasuk Malaysia.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani berkata, nilai tukaran rupiah sekarang adalah 4.55 peratus sejak awal tahun hingga 28 Julai lalu.

Sebagai contoh, jelasnya dipetik CNN Indonesia, Malaysia jatuh 6.46 peratus dalam tempoh sama manakala Thailand negatif 9.24 peratus dan India negatif enam peratus.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 19 Julai lalu berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah melaporkan Malaysia berdepan masalah ekonomi yang boleh menyebabkan negara muflis.

Bahkan, jelasnya, kadar hutang Malaysia kepada KDNK berada pada paras 63 peratus iaitu lebih rendah jika dibandingkan negara lain iaitu Jepun sebanyak 263 peratus dan Singapura (133 peratus).

Namun, penganalisis mengingatkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada terkena tempias risiko kemelesetan global dan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka berlaku tahun depan.

Kerajaan perlu berhati-hati dengan kesan inflasi di peringkat global kepada Malaysia serentak dengan ancaman kemelesetan dunia menjelang tahun 2023.

Sekarang pun, peningkatan indeks makanan saban bulan menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi. Komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing melambung 6.1 peratus dan 6.6 peratus pada Jun lalu sekali gus mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

Dalam laporan terkini mengenai keselamatan makanan, Bank Dunia berkata, inflasi harga makanan domestik adalah tinggi di hampir semua negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Walaupun begitu, kadar inflasi di Malaysia iaitu 3.4 peratus pada Jun lalu adalah lebih rendah berbanding Thailand (7.7 peratus), Filipina (6.1 peratus), Korea (6.0 peratus) dan Indonesia (4.4 peratus).

Jangan terlalu awal menarik nafas lega kerana kebergantungan berterusan negara terhadap makanan import adalah amat membimbangkan menjelang kemelesetan global ini.

Pada tahun 2020, negara mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion. Tahun lalu, import makanan melonjak lagi sebanyak RM63 bilion.

Kerajaan sendiri mengakui nilai import makanan Malaysia dijangka lebih tinggi tahun ini melepasi paras tertinggi yang pernah direkodkan tahun lalu.

Mana tidaknya, import makanan yang direkod negara pada suku pertama tahun ini sahaja sudah mencecah RM17.8 bilion.

Kebergantungan negara terhadap import bukan sahaja pada sayur-sayuran beriklim sederhana seperti gandum, bawang dan ubi kentang, bahkan Malaysia yang beriklim Khatulistiwa juga sangat bergantung kepada import bagi kelapa dan mangga.

Dalam masa sama, Malaysia juga masih perlu mengimport komoditi makanan seperti makanan ternakan, baja selain daging lembu dan kambing.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan tahun lalu, lebih daripada 70 peratus daging kambing yang diimport berasal dari Australia sementara mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport dari Thailand, Indonesia dan India.

Oleh sebab itu, rakyat di negara ini dibimbangi akan terpaksa berbelanja lebih banyak untuk mendapatkan makanan memandangkan harga bahan itu di negara asal yang sudah sedia melonjak diburukkan lagi dengan kadar tukaran ringgit yang lemah.

Baca juga Adakah pembangunan ekonomi Malaysia akan jauh tertinggal pada ulang tahun negara ke-100?

Baca juga Rupanya wang RM25 Juta yang hilang dari SPRM tu hanya jumlah kecil, ada lagi besar