Malaysia Dateline

RUU 355: ‘Jangan pula kita sebut bila kahwin esok, hendak anak terus’

Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan mengikut peringkat.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat tahap yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum rang undang-undang (RUU) pindaan akta tersebut dibawa ke Parlimen.

“Bila dibawa ke Parlimen, itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan. Kemudian ia dibaca sampai jadi perundangan.

“Hukum-hakam ini wajib, bukan sunat. Kita mesti laksanakan undang-undang mengikut tahap.

“Jadi semua rantaian ini adalah pelaksanaan Islam. Sebagaimana seseorang itu kahwin, jangan pula kita sebut bila kahwin esok, kita hendak anak terus, dapat anak baru kahwin. Tidak, ia ada proses.

“Sama seperti RUU ini apabila Perdana Menteri kata akan dibawa ke Parlimen, itu adalah pelaksanaan Islam,” katanya dalam wawancara disiarkan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanyakan sama ada RUU 355 mampu dilaksana sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, Nik Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, tahap pelaksanaan RUU 355 juga terserah kepada Allah.

“Insya-Allah kita akan buat satu program yang besar supaya kita mampu menerangkan kepada masyarakat majmuk.

“Itu pelaksanaan Islam, kita buat langkah demi langkah, jadi tahap mana yang kita mampu laksanakan sehingga PRU, kita serah kepada Allah,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan pada 14 September lalu memaklumkan cadangan meminda Akta 355 masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa siri mesyuarat telah diadakan sepanjang 2020 dan tahun ini.

Siri mesyuarat itu melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu melihat dari pelbagai aspek khususnya Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah pula, kerajaaan juga sedang mempergiat usaha untuk mendraf Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU 355).

“Setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, RUU 355 tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil,” katanya dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Sebelum ini, isu RUU 355 dilihat menjadi senjata politik Pas dalam menyerang PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk aksi himpunan mega Pas di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari 2017.

Bahkan, pernah seorang ketua kawasan Pas di Kedah dalam kuliah agamanya membawakan contoh, jika Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Presiden PKR, tidak bersetuju dengan RUU 355 dalam pengundian di Parlimen, “dan selepas itu Kak Wan meninggal dunia, jasadnya kami kebumikan di jirat (perkuburan bukan Islam)”.

Walau bagaimanapun, beberapa kali usul berkaitan pindaan akta berkenaan dibawa Presiden Pas dalam sidang Parlimen tetapi tidak sempat dibahaskan.

Cadangan meminda Akta 355 diusulkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016.

Beliau mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati tetapi kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.

Pada 24 November 2016 pula, Hadi mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali serta pindaan usul itu ditangguhkan.

Selanjutnya, pada 6 Mei 2017, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam Ahli Parlimen Marang dan diperjelaskan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul itu untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya.

Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, persoalan mengenai RUU 355 sekali lagi dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Pada 22 Julai 2020, dalam soalan lisan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom mengenai status pindaan Akta 355, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Ahmad Marzuk Shaary, memaklumkan ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Rakyat pada 10 Ogos tahun lalu ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap, pindaan RUU 355 akan dapat direalisasikan sebelum beliau mati.

Hingga kini RUU 355 belum dibahaskan.