Malaysia Dateline

Sah memang ada aktiviti pembalakan di Ulu Sedim

Memang sah dan benar bahawa wujudnya aktiviti pembalakan sekitar Ulu Sedim, Mukim Bakai, Baling sepertimana maklum balas oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah yang telah diterima oleh Adun Kulim, KC Yeo baru-baru ini.

Malah aktiviti pembalakan dan pengeluaran kayu dari kawasan yang dibenarkan tersebut adalah di atas tanah milik Felcra bagi projek Felcra Berhad di Ulu Sedim dan bukan daripada Hutan Simpan Kekal.

“Walau apa pun alasan yang diberikan, sebetulnya memang sah wujud aktiviti pembalakan di Ulu Sedim dan ia amat membimbangkan penduduk sekitar Ulu Sedim serta daerah Kulim yang berdekatan.

Penduduk juga bimbang kerana mereka sedia maklum kesan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit khususnya Gunung Bongsu di Kulim serta kawasan berhampiran padat dengan populasi penduduk serta kawasan perindustrian.

“Pengalaman lalu dimana telah terjadi banjir kilat yang serius melibatkan Sungai Karangan, Sungai Kob, Sungai Kulim dan Sungai Jarak serta sistem sungai terbabit amat sensitif sekiranya seluruh kawasan hutan diteroka dan terdedah pada cuaca musim hujan, “ujar beliau ketika dihubungi.

Kata Yeo lagi, geologi sistem tanah Gunung Bongsu berdekatan amat longgar dengan struktur tanah yang lembut dan berpasir. Sekiranya dimusnahkan tanaman penutup bumi, maka dasar-dasar sungai akan terkambus.

Tambah beliau, kesannya akan mengakibatkan banjir kilat yang besar terjadi dan kawasan perindustrian Kulim Hitec, bandar Kulim, Lunas, Padang Serai, Karangan dan kawasan Kilang Lama akan turut terancam.

Sehubungan itu kata Yeo, tidak dapat dinafikan pengusaha balak akan membina jalan balak dengan memotong cerun-cerun tanah permukaan bukit yang longgar setelah pokok kanopi rendah seperti resam, paku-pakis, buluh dan pokok menjalar di musnahkan secara rakus.

Kesannya tegas beliau, hujan lebat akan terjadi dan saliran berlumpur menuruni bukit serta mendamparkan sisa-sisa dalam sistem sungai sekeliling Gunung Bongsu.

Ia juga berkata, jarak jangkauan penduduk bandar Kulim, kawasan perindustrian Kulim-Hitec, kawasan industri lama dan perkampungan sekitar kawasan hutan terlibat hanya dalam jarak satu kilometer.

Oleh itu saran beliau, adalah digesa supaya aktiviti pembalakan terbabit dihentikan dan ditutup terus dan dibiarkan hutan kekal. Sekiranya diteruskan juga aktiviti pembalakan tersebut tidak mustahil tragedi banjir yang telah meragut nyawa di Kupang, Baling baru-baru ini serta di Yan sebelum ini boleh berulang di Kulim pula.

Baca juga: Taklimat khas Umno, perhimpunan jahanamkan institusi keadilan Malaysia

Baca juga: Siap tulis nota akhir dekat dinding, wanita terperangkap tiga hari dalam tandas rumah