Malaysia Dateline

Taklimat khas Umno, perhimpunan jahanamkan institusi keadilan Malaysia

Pasca keputusan kes Dato’ Sri Najib Tun Razak oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menyebabkan pimpinan dan parti Umno secara terbuka menzahirkan kemarahan mereka terhadap dua institusi pentadbiran keadilan di Malaysia iaitu institusi kehakiman dan institusi Peguam Negara.

Semalam, pimpinan Umno telah mengadakan satu perhimpunan khas kepada pimpinan bawahan dan memberikan taklimat yang jelas merendah-rendahkan kedua-dua institusi ini dan melancarkan kempen untuk solidariti kepada penjenayah yang telah disabitkan oleh 9 orang hakim bermula daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menurut KANUN (Biro Undang-Undang) Parti Amanah Negara orang yang telah disabitkan oleh Mahkamah ini telah disanjung sebegitu tinggi dengan pelbagai naratif kononnnya penjenayah ini tidak mendapat perbicaraan yang adil dan telah dinafikan hak sebagai tertuduh sedangkan hakikatnya penjenayah ini telah diberikan peluang yang seluas-luasnya untuk membela diri.

Malang sekali, jelas KANUN penjenayah ini lebih memilih untuk membela diri di facebook berbanding dengan mengemukakan pembelaan di dalam Mahkamah.

Taklimat khas Umno, perhimpunan jahanamkan institusi keadilan Malaysia
Peguam Dr Zulqarnain

Pengerusi Kanun Dr Zulqarnain Lukman berkata, taklimat khas UMNO ini menzahirkan kebobrokan mereka terhadap kuasa politik dengan berbuat pelbagai desakan sama ada secara sah mahupun serangan dalam gelap melalui pelbagai media hantu daripada blogger-blogger politik.

“Bahkan, terdapat dalam kalangan penjawat awam yang berada dalam institusi ini juga turut bersekongkol dengan mensabotaj pihak Mahkamah apabila mencuri draf alasan penghakiman dan mendedahkan kepada orang awam sebelum keputusan Mahkamah diberikan.

“Mereka juga menzahirkan kekecewaan mereka terhadap institusi Peguam Negara yang tidak menarik balik kes terhadap suspek dan penjenayah yang telah merompak atau menyalahgunakan wang negara.

“Rakyat Malaysia masih belum boleh lupa bagaimana Dato’’ Sri Najib Tun Razak telah memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan menggantikan dengan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang begitu beria-ia membersihkan Perdana Menteri ketika itu daripada kesalahan berkaitan 1MDB dan SRC,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, KANUN menyeru kepada semua penjawat awam supaya menunaikan amanah dalam pentadbiran dan tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan terdesak di kalangan orang Umno yang masih menyanjung penjenayah yang sudah dibuktikan melalui proses Mahkamah.

KANUN juga berharap para Hakim tidak gentar dan berasa terancam dengan sikap pelahap Umno terhadap kuasa.

“KANUN juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia untuk memberikan pengampunan segera kepada penjenayah sebelum mereka insaf dan bertaubat dan terlebih dahulu menjalani hukuman.

“KANUN juga berasa kecewa kerana rakan politik UMNO yang bersama dalam kerajaan iaitu PAS dan PPBM tidak tegas menyatakan pendirian mereka terhadap jenayah terbesar dan memalukan negara di mata dunia apabila seorang yang berjawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tergamak untuk menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan melakukan penggubahan wang haram sebanyak RM 42 juta,” kata kenyataan itu.

KANUN menyatakan bahawa tindakan kedua-dua parti ini bekerjasama dengan Umno dalam langkah tebuk atap Langkah Sheraton adalah kesilapan politik terbesar sehingga menyebabkan institusi pentadbiran keadilan dihina sebegini rupa pada hari ini.

“KANUN menyeru supaya rakyat Malaysia berdiri teguh untuk menolak UMNO-BN dalam PRU 15 akan datang.

“Akibat buruk akan menunggu rakyat Malaysia sekiranya Umno-BN sekali lagi diberikan kuasa untuk memerintah Malaysia dengan kemusnahan pelbagai institusi penting negara dan wang negara akan dijarah tanpa rasa malu.

“KANUN menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam PRU 15 untuk membersihkan negara ini daripada kemusnahan akibat korupsi dan salah guna kuasa,” ujarnya lagi.

Baca juga: Tak perlu mahkamah, tak perlu hakim, boleh bela diri di pentas parti sendiri

Baca juga: 11 tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew bakal dibicarakan 27 September depan