Sejak beberapa hari lalu, panas sekejap dengan isu ’rounding’ lima sen apabila salah seorang juruwang di sebuah kedai kopi terkenal tidak memberikan baki mencukupi dengan alasan tiada wang bagi jumlah tersebut dan membuat pelanggan menanggung kerugian.
Kali ini, seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Nur Zulaikha turut berkongsikan cerita sama berkenaan wang lima sen ini. Menceritakan perkara itu dia berkata, baru-baru ini dia datang ke sebuah kedai dan membuat pesanan dua minuman.
Pada awalnya skrin menunjukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM13.25, dan tanpa berlengah dia pun menyediakan wang cukup-cukup dengan jumlah berkenaan termasuk lima sen itu.
Namun bingung jadinya apabila melihat resit, jumlah tersebut telah dibundarkan menjadi RM13.30.
“Sebenarnya lama dah tak tengok resit bila mengopi. Sejak ada orang bayarkan ni terus tak tengok resit. Nak jadi cerita malam tadi saya order Latte di kaunter.
“Di skrin keluar total RM13.25 (saya menanti dan menyaksikan cashier key-in, jadi saya lihat total di skrin). Maka saya keluarkan cukup-cukup RM13.25.
“Saya menyusun 10 sen, 10 sen dan 5 sen. Duit syiling memang ada sokmo dalam purse. Adik cashier cakap, 5 sen lagi kak. RM13.30 Eh? Beliau pun bagi resit. Tertera di resit RM13.30
“Rounding? Saya pun keluarkan 5 sen lagi. Ni dik. Sambil hulur 5 sen lagi. Hikmah dari kes viral 5 sen. Tiba-tiba peka dengan jumlah bayaran dan rasa nak lihat resit,” katanya.
Dia mengakui ada yang tidak kena dengan kaedah ‘rounding‘ yang mereka gunakan kerana setahunya lima sen tidak boleh digenapkan menjadi 10 sen.
Namun untuk tidak memanjangkan isu, dia terus membuat pembayaran lagi 5 sen dan berharap orang ramai di luar sana ketahui hak sebagai pengguna.
“Bukan pasal kedekut, bukan pasal berkira. Tapi kita kena tahu hak kita sebagai pengguna. Ikutkan selama ni order banyak (dengan makanan), lagilah tak periksa satu-satu. Kes malam tadi order air saja. Latte sejuk RM7, Latte panas RM5.50. Ada SST 75 sen.
“Oh, baru tahu ada SST 6%. Tak alert mana selama ni. Pelik juga pasal rounding ni. Setahu saya kalau hujung 5 sen tak perlu rounding dah. Saya pun tak persoalkan. Ambil lah 5 sen,” luahnya lagi.
Prinsip rounding salah
Perkongsian itu kemudian menarik perhatian ramai dengan rata-rata tegas memberitahu bahawa prinsip ’rounding’ atau pembundaran yang dilakukan kafe berkenaan adalah salah.
Bahkan menurut mereka, selagi wang syiling lima sen masih wujud dan digunakan, maka mana-mana pihak tidak boleh membundarkan wang tersebut ke angka terdekat seperti 10 sen.
Untuk rekod, mekanisma penggenapan ialah mekanisma yang memerlukan jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan 1, 2, 8, dan 9 sen yang kemudian digenapkan kepada puluh sen terdekat.
Manakala 3, 4, 6, dan 7 sen digenapkan kepada 5 sen terdekat.
Bagi jumlah bil yang berakhir dengan 1 dan 2 sen, ia akan diturunkan kepada puluh sen terdekat. Bagi 6 dan 7 sen diturunkan kepada 5 sen terdekat.
Bagi 3 dan 4 sen dinaikkan kepada 5 sen terdekat manakala 8 dan 9 sen dinaikkan kepada puluh sen terdekat.
Contoh :
1 sen dan 2 sen: Digenap kepada puluh bawah.
3 sen dan 4 sen: Digenap kepada 5 sen
6 sen dan 7 sen: Turut digenap kepada 5 sen
8 sen dan 9 sen: Digenap kepada puluh atas atau 10 sen.
Baca juga: ‘Adakah elaun YB Pekan sebagai wakil rakyat masih dibayar kerajaan?’ soal Rayer
Baca juga: Setapak, KL jadi ‘lokasi panas’ lubuk doktor gigi palsu